KUALA LUMPUR 23 Jun — CAB Cakaran Corporation Bhd mengesahkan kes serangan siber baru-baru ini terhadap Farm's Best Food Industries Sdn Bhd, tidak menjejaskan operasi syarikat berkenaan.
Kumpulan pengeluar makanan tersebut yang memiliki kepentingan 51 peratus dalam Farm's Best Food berkata, insiden itu juga tidak menyebabkan sebarang kesan material terhadap prestasi kewangannya.
Sebaliknya ia berkata, pihak Lembaga Pengarah CAB Cakaran dalam laporan kemas kini penilaiannya itu mendapati kejadian berkenaan sebagai telah selesai tetapi usaha pemulihan masih berterusan.
"Ia melibatkan sistem perakaunan dan garis masa untuk pemulihan data penuh untuk memenuhi tarikh akhir pelaporan masih tidak pasti," katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Farm’s Best kata CAB Cakaran, terus bekerjasama rapat dengan petugas bahagian teknologi maklumat dalamannya dan perunding keselamatan siber luar bagi memulihkan sepenuhnya sistem yang terjejas.
Mereka berkata kumpulan tersebut, namun amat yakin dapat mengukuhkan rangka kerja keselamatan sibernya untuk mengelakkan kejadian sama terus berulang lagi pada masa akan datang.
Farm's Best, yang terkenal dengan perniagaan ayam itik dan produk ayam yang diproses di pasaran negara ini, merupakan unit utama dalam perniagaan ternakan bersepadu kumpulan CAB.
Keuntungan bersih CAB meningkat 31% kepada RM19.8 juta bagi suku kedua berakhir 31 Mac 2025, didorong oleh keuntungan operasi yang lebih tinggi daripada segmen ayam bersepadunya.
Ia turut dibantu hasil daripada kos makanan yang lebih rendah serta faktor harga jualan purata lebih tinggi bagi ayam pedaging dan anak ayam.
Mengulas lanjut, CAB Cakaran berkata, para penternak ayam dan Farm’s Best, terus bekerjasama rapat bagi mengukuhkan rangka kerja keselamatan sibernya.
CAB Cakaran mengumumkan bahawa Farm’s Best menjadi sasaran serangan siber pada 3 Jun 2025, yang mengakibatkan pelanggaran data. - DagangNews.com








