Sentral REIT berdepan isu pajakan tidak diperbaharui, kadar sewa rendah - RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sentral REIT berdepan isu pajakan tidak diperbaharui, kadar sewa rendah - RHB Research

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 13 Mei — Sentral Real Estate Investment Trust (REIT) masih lagi berdepan kepada pelbagai risiko luar jangka seperti isu pajakan yang tidak diperbaharui dan kadar sewa lebih rendah daripada jangkaan, kata RHB Research. 


Firma penyelidikan tersebut berkata, bagaimanapun strategi Sentral REIT mempelbagaikan asas asetnya adalah positif kerana ia mengurangkan kebimbangan pelabur terhadap pasaran pejabat yang semakin mencabar.


Perkembangan berkenaan katanya, dijangka dapat membantu nisbah pengemudian syarikat tersebut untuk meningkat lagi dalam jangka terdekat yang banyak bergantung kepada masa pemerolehan aset hartanah dan pelupusan pada masa akan datang.


"Risiko kemerosotan utama kepada prospek kami ini ialah masalah sekiranya berlaku pajakan tidak diperbaharui, dan isu pengembalian kadar sewa yang lebih rendah daripada jangkaan," katanya dalam satu nota kajian.


Terdahulu, Sentral REIT mencatatkan keuntungan bersih RM19.61 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2025 (1QFY25), walaupun lebih rendah berbanding RM19.9 juta pada tahun sebelumnya.


Mengulas lanjut, firma penyelidikan itu menambah, nisbah perlindungan faedah kumpulan ini adalah sihat pada 2.58 kali ganda dan menganggarkan sebarang peluang pelupusan untuk Wisma Sentral Inai yang kosong boleh membantunya.


Langkah berkenaan katanya, diunjurkan dapat mengurangkan nisbah gear Sentral REIT kepada 41 peratus berdasarkan penilaian semasanya sebanyak RM150 juta dan ia juga menghampiri had 50 peratus dibenarkan Suruhanjaya Sekuriti (SC).


"Keputusan 1QFY25 adalah selaras jangkaan kami, malah kadar penghunian portfolio kekal 84 peratus, tetapi kami meramalkan ia bertambah baik secara progresif kerana ia berusaha untuk mendapatkan penyewa baharu di Menara Shell," katanya.


Dalam jangka panjang kata RHB Research, Sentral REIT menyasarkan untuk mengumpul asas aset terpelbagai merentas aset runcit, perindustrian, pendidikan dan penjagaan kesihatan, sambil mengekalkan jawatan sebagai kelas aset utamanya.


Firma itu terus mengemari Sentral REIT kerana prospek pendapatan stabil dan hasil dividen menarik dengan terus mengekalkan saranan "beli" manakala harga sasaran sesahamnya diunjur naik 19 peratus kepada 91 sen. - DagangNews.com