Sentimen REIT dijangka pulih selepas OPR turun namun penilaian sudah diambil kira - penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sentimen REIT dijangka pulih selepas OPR turun namun penilaian sudah diambil kira - penganalisis

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 11 Julai – Penurunan Kadar Dasar Semalaman (OPR) oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka memberi rangsangan kepada sentimen terhadap amanah pelaburan hartanah (REIT), menurut penganalisis.

 

Namun, firma-firma penyelidikan berkata, kesan positif daripada penurunan itu dilihat telah diambil kira sebahagiannya dalam penilaian pasaran semasa.

 

Kenanga Research telah menurunkan penarafan terhadap Sunway REIT dan CapitaLand Malaysia Trust (CLMT) kepada ‘market perform’ susulan kenaikan harga saham baru-baru ini.

 

“Kami turut mengurangkan harga sasaran bagi CLMT daripada 75 sen kepada 70 sen berikutan kesan pencairan pendapatan sesaham sekitar tujuh peratus hasil daripada cadangan penempatan saham baharu,” kata Kenanga dalam nota kajiannya.

 

Sementara itu, Paradigm REIT dilihat berpotensi menarik minat pelabur kerana pasaran di Johor yang sedang berkembang pesat, selain menawarkan anggaran pulangan dividen bersih sekitar tujuh peratus yang lebih tinggi daripada purata bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026.

 

Namun, firma itu masih mengekalkan penarafan ‘unrated’ terhadap REIT tersebut.

 

Sementara itu, Public Investment Bank pula berpandangan impak penurunan OPR terhadap REIT adalah terhad.

 

"Kami menganggarkan impak terhadap pendapatan REIT (yang menggunakan kadar terapung) adalah kecil iaitu sekitar satu hingga dua peratus. Justeru kami mengekalkan unjuran pendapatan buat masa ini," katanya.

 

RHB Investment Bank pula berkata, REIT tempatan dijangka terus mendapat manfaat daripada perbelanjaan domestik yang kukuh hasil bon yang rendah serta strategi pertumbuhan inorganik yang aktif.

 

“Kami percaya kelebihan masih mengatasi kekurangan terutamanya kesan perluasan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang mungkin memberi risiko kepada semakan semula kadar sewa namun REIT yang memiliki aset berkualiti tinggi dijangka kurang terkesan," katanya.

 

Pada Rabu lalu, BNM menurunkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus sekali gus menandakan penurunan pertama sejak 2023. 

 

Langkah ini dijangka oleh hampir separuh daripada 23 ahli ekonomi yang ditemu bual oleh Bloomberg.

 

Dalam pada itu, RHB turut menjangka beberapa REIT mampu mencatatkan pendapatan lebih kukuh hasil pemerolehan serta kerja naik taraf yang sedang dijalankan.

 

"Selain itu, sesetengah REIT pula mungkin menangguhkan semakan semula kadar sewa kepada penyewa tertentu bagi mengekalkan hubungan jangka panjang sementara menanti perubahan kos tarif elektrik.

 

"Ini pernah berlaku apabila REIT terdahulu menangguhkan kenaikan caj perkhidmatan disebabkan peningkatan kos elektrik," katanya.

 

Perbezaan hasil antara Indeks REIT Bursa Malaysia dan Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) 10 tahun kini berada sekitar 200 mata asas iaitu kira-kira 0.5 sisihan piawai di atas purata sejarah. 

 

Sejak awal tahun hasil MGS 10 tahun telah menurun sebanyak 38 mata asas selari dengan trend pasaran bon global.

 

Kenanga menyatakan penurunan OPR merupakan pemangkin positif kepada penilaian REIT yang banyak bergantung kepada andaian hasil MGS.

 

"Walaupun SST ke atas sewaan memberi kesan negatif kepada REIT indeks REIT telah meningkat hampir enam peratus setakat tahun ini sekali gus mengatasi prestasi pasaran keseluruhan termasuk FBM KLCI yang masih dalam zon merah.

 

“Ini menunjukkan pelabur telah mengambil kira terlebih dahulu pemotongan OPR sebanyak 25 mata asas oleh BNM. 

 

"Hasil MGS 10 tahun telah menurun kepada sekitar 3.45 peratus iaitu hampir sama dengan andaian hasil MGS bagi portfolio REIT kami sekitar 3.5 peratus," kata Kenanga.

 

Firma itu percaya pemotongan kadar oleh BNM adalah langkah awal sebagai langkah berjaga-jaga dan justeru mengekalkan andaian hasil MGS pada 3.75 peratus.

 

Kenanga turut mengekalkan pendirian ‘neutral’ terhadap sektor REIT.

 

RHB pula kekal dengan saranan ‘overweight’ terhadap sektor tersebut dengan Pavilion REIT sebagai pilihan utama.

 

Sementara itu Public Investment Bank kekal dengan pandangan ‘neutral’ dan menaikkan harga sasaran IGB REIT kepada RM2.50 daripada RM2.10 susulan cadangan pengambilalihan pusat beli-belah Mid Valley Southkey.- DagangNews.com