Sentimen positif Sidang Kemuncak ASEAN dorong KLCI naik 5 mata - Maybank IB  | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sentimen positif Sidang Kemuncak ASEAN dorong KLCI naik 5 mata - Maybank IB 

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 28 Okt - Sentimen pasaran Bursa Malaysia melonjak positif susulan pemangkin daripada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan prestasi kukuh Wall Street, apabila Indeks Komposit Kuala Lumpur (KLCI) dibuka tinggi dengan jurang (gap-up) sebelum ditutup meningkat 5.11 mata atau 0.32 peratus kepada 1,618.38 mata pada Isnin.

 

Maybank Investment Bank (Maybank IB) dalam nota teknikalnya berkata, kenaikan itu turut disokong oleh saham berwajaran besar seperti Sime Darby Group (SDG), CIMB dan Tenaga Nasional (TENAGA) yang mendahului senarai kaunter meningkat.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Bagaimanapun, pasaran keseluruhan kekal berhati-hati apabila jumlah kaunter rugi (544) sedikit mengatasi kaunter untung (543), mencerminkan aktiviti pengambilan untung dalam kalangan pelabur selepas kenaikan ketara minggu lalu.

 

Sektor penjagaan kesihatan muncul sebagai peneraju kenaikan hari tersebut, didorong oleh minat belian semula terhadap kaunter sarung tangan seperti Kossan, Hartalega dan Supermax, yang kini menghampiri paras rintangan utama dan berpotensi mencetuskan bullish breakout sekiranya momentum belian berterusan.

 

Sektor perladangan pula mengekalkan prestasi kukuh apabila indeksnya mencapai paras tertinggi 52 minggu, disokong oleh kenaikan harga minyak sawit mentah (CPO) walaupun nota teknikal Maybank IB menilai komoditi itu kini berada di fasa kelesuan (exhaustion phase) selepas rali berpanjangan.

 

Dalam senarai idea dagangan teknikal, Maybank IB menyarankan BELI (BUY) bagi Greatech Technology (GREATEC), Pavilion REIT (PAVREIT) dan PJ Bumi (PJBUMI) dengan paras henti rugi (stop-loss) masing-masing pada RM1.94, RM1.67 dan RM2.39. Sasaran keuntungan (resistance levels) ditetapkan antara RM2.05 hingga RM3.27.

 

 

 

 

 

 

 

Bank itu turut menjangkakan niaga hadapan KLCI (KLCI Index Futures) akan terus mempamerkan corak bullish flag pattern, dengan julat dagangan harian dianggarkan antara 1,610 hingga 1,630 mata, manakala paras sokongan utama kekal pada 1,550 dan 1,500 mata- DagangNews.com