Seminar Hal Ehwal Pelajar dan Alumni 2026 julung kali dianjur UPM tangani cabaran kebolehpasaran graduan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Seminar Hal Ehwal Pelajar dan Alumni 2026 julung kali dianjur UPM tangani cabaran kebolehpasaran graduan

ARIFFIN Abdu (hadapan duduk tengah) bergambar dengan peserta Seminar Hal Ehwal Pelajar dan Alumni 2026 (SEHEPA 2026) di UPM, Serdang, Selangor. - Foto ihsan UPM
Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 16 AprilUniversiti Putra Malaysia (UPM) mengambil langkah proaktif memperkukuh pembangunan secara holistik melalui Seminar Hal Ehwal Pelajar dan Alumni 2026 (SEHEPA 2026).


Menurut kenyataan, acara julung kali dianjurkan itu menekankan aspek kebolehpasaran graduan dan kesejahteraan pelajar yang semakin menjadi perhatian dalam landskap pendidikan tinggi semasa.


Seminar selama dua hari itu menghimpunkan kira-kira 450 staf dan pelajar, dengan fokus menyelaras pelaksanaan dasar serta pelan strategik Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) universiti tersebut.


Timbalan Naib Canselor (HEPA), Prof Dr Arifin Abdu berkata, bahagian tersebut kekal relevan memainkan peranan penting membentuk ekosistem sokongan pelajar yang menyeluruh, ihsan dan mampan.


“SEHEPA 2026 memperkukuhkan sinergi antara semua jabatan dalam universiti dalam usaha memperkasa perkhidmatan kepada pelajar dan alumni,” katanya berucap ketika merasmikan program tersebut.


Tambah beliau, sebanyak 35 kertas kerja dibentangkan melibatkan pegawai HEPA, kepimpinan pelajar serta warga fakulti dan pusat yang terlibat secara langsung dalam pembangunan pelajar UPM.


Katanya, tujuh fungsi utama HEPA diketengahkan termasuk pembangunan dan pemerkasaan pelajar, kebajikan dan kesejahteraan, pemerkasaan alumni, tadbir urus serta pendigitalan perkhidmatan.


“Kami turut memberi penekanan kepada aspek pertanian dan keterjaminan makanan, pendanaan serta kesihatan planet dan kelestarian,” ujar Ariffin sebagai menyentuh keyakinan dalam jangka panjang.


Sementara itu, Ketua Pentadbiran Pejabat Timbalan Naib Canselor HEPA, Abdullah Arshad berkata, pendekatan pembentangan ringkas selama 15 minit membolehkan perkongsian maklumat secara padat.


Beliau berkata, antara fokus utama termasuk pembangunan pelajar, kebolehpasaran graduan dalam era digital, kesejahteraan mental, keusahawanan serta pengukuhan kepimpinan dan jaringan alumni.


"Peranan kolej kediaman sebagai ekosistem pembinaan sahsiah serta isu keterjaminan makanan kampus dan kelestarian turut diberi perhatian dalam usaha melahirkan mahasiswa berdaya tahan,” katanya.


Penganjuran SEHEPA 2026 juga selaras dengan Pelan Strategik HEPA 2026–2030 serta aspirasi True North UPM yang menekankan kecemerlangan berteraskan nilai, impak dan kelestarian. - DagangNews.com