Selepas isu tarif, pengeksport Malaysia kini berdepan risiko kemelesetan ekonomi AS – PublicInvest | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Selepas isu tarif, pengeksport Malaysia kini berdepan risiko kemelesetan ekonomi AS – PublicInvest

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 4 Ogos – Selepas ketidaktentuan berkaitan isu tarif, pengeksport Malaysia dijangka berdepan cabaran baharu susulan unjuran kelemahan ekonomi Amerika Syarikat (AS) yang boleh menjejaskan permintaan terhadap barangan tempatan, demikian menurut PublicInvest Research.

 

Firma penyelidikan itu memberi amaran bahawa perbelanjaan pengguna AS dijangka merosot, sekaligus mengurangkan permintaan terhadap barangan import termasuk dari Malaysia.

 

“Tarif ke atas barangan bernilai rendah dan tidak kritikal akan meningkatkan kos kepada perniagaan AS, yang mungkin bertindak membekukan pengambilan pekerja atau melaksanakan pemberhentian bagi melindungi margin keuntungan,” katanya.

 

PublicInvest menambah, tanda-tanda kemelesetan ekonomi AS semakin ketara, berdasarkan data pada Julai yang menunjukkan pasaran buruh semakin lemah, termasuk kadar pengangguran yang meningkat dan pertumbuhan pekerjaan yang perlahan.

 

Ekonomi terbesar dunia itu baru-baru ini muncul sebagai destinasi eksport kedua terbesar Malaysia, susulan peningkatan aktiviti pengimportan oleh syarikat-syarikat AS bagi mengelakkan kesan tarif menjelang tarikh akhir 1 Ogos.

 

Pada 1 Ogos, AS telah mengumumkan set tarif komprehensif terhadap rakan dagang utamanya, termasuk Malaysia, yang menyaksikan produk negara dikenakan duti import sebanyak 19 peratus.

 

Kadar tarif 19 peratus itu, menurut PublicInvest, boleh mengakibatkan kemerosotan permintaan ke atas produk seperti sarung tangan getah, perabot serta barangan elektrik dan elektronik tidak kritikal dari Malaysia.

 

PublicInvest turut menegaskan bahawa risiko penurunan permintaan masih berterusan sekiranya lebih banyak data ekonomi dikeluarkan yang mengesahkan kelemahan ekonomi AS dalam tempoh terdekat. - DagangNews.com