Selangor dan MAHB garis lima strategi lonjak pelaburan aeroangkasa di SAP @KLIA Aeropolis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Selangor dan MAHB garis lima strategi lonjak pelaburan aeroangkasa di SAP @KLIA Aeropolis

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 10 Julai - Kerajaan Negeri Selangor bersama Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) telah merangka dan melaksanakan lima strategi bersepadu bagi memastikan projek Selangor Aero Park (SAP) @KLIA Aeropolis mampu menarik pelaburan asing berimpak tinggi dalam sektor aeroangkasa.


Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor, Ng Sze Han berkata, strategi pertama yang dilaksanakan melalui Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI Selangor) ialah mewujudkan ekosistem bertaraf dunia yang mempunyai akses kepada pasaran global melalui kehadiran syarikat terkemuka seperti Airbus Helicopters, GE Aviation dan Spirit AeroSystems.

 

“Kami juga menyediakan ekosistem berorientasikan masa depan yang menggalakkan inovasi melalui sokongan penyelidikan dan pembangunan (R&D), kemudahan khusus berteknologi tinggi serta peluang kerjasama dengan institusi akademik dan rakan industri ternama.

 

“Kami percaya persekitaran ini akan mempercepatkan pembangunan teknologi dan proses pengkomersialan,” katanya semasa menjawab soalan Pua Pei Ling (PH-Bukit Lanjan) yang ingin tahu usaha kerajaan negeri dalam memastikan SAP mampu menarik pelaburan asing bernilai tinggi dalam bidang aeroangkas i Persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor.

 

Sze Han berkata, SAP turut disokong strategi ketiga iaitu sistem tadbir urus berfokus pelabur yang membolehkan penyelarasan pantas dan efisien antara pihak berkuasa persekutuan, negeri dan tempatan.

 

"Langkah ini akan mempercepatkan proses penempatan syarikat dan pembangunan fizikal termasuk kelulusan pembangunan serta pelesenan.

 

"Selain itu, usaha memperkukuh pembangunan bakat dan tenaga kerja dalam industri aeroangkasa turut diberi keutamaan termasuk melalui penubuhan Pusat Bakat Aeroangkasa sebagai hab pembangunan bakat berpusat serta pelaksanaan program kemahiran masa hadapan di bawah kerangka nasional MyAERO," katanya.

 

Strategi keempat pula merangkumi pembinaan kemudahan logistik bersepadu dengan sambungan pengangkutan pelbagai mod untuk memanfaatkan lokasi SAP yang berdekatan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

 

Tambahnya, strategi kelima ialah penyediaan fasiliti R&D yang turut diberi penekanan untuk memacu inovasi dan kemajuan teknologi.

 

"SAP merupakan antara inisiatif utama di bawah Pelan Induk Industri Aeroangkasa Malaysia 2030 (MAIB 2030), yang berpotensi mewujudkan lebih 32,000 peluang pekerjaan menjelang 2030.

 

“Kerjasama strategik antara MBI dan Perbadanan Industri Aeroangkasa Nasional (Naico) akan memperkukuh ekosistem modal insan melalui pembangunan tenaga kerja berkemahiran tinggi dan berdaya saing serantau,” katanya.

 

Selain itu, beliau turut memaklumkan MBI dan MAHB kini giat berunding dengan pemain industri aeroangkasa global untuk menubuhkan operasi mereka di Selangor.

 

"Perbincangan tersebut memberi tumpuan kepada sektor berketepatan tinggi, penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO), teknologi penerbangan serta logistik pintar, selaras dengan usaha memperkukuh rantaian nilai sektor aeroangkasa negeri," katanya. - DagangNews.com