Sektor telekomunikasi dikhuatiri berdepan tekanan pada 2HFY26 akibat isu DNB, kata MBSB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sektor telekomunikasi dikhuatiri berdepan tekanan pada 2HFY26 akibat isu DNB, kata MBSB Research

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 17 MacSektor telekomunikasi dijangka berdepan tekanan terhadap hasil mulai separuh kedua 2026 susulan kesan pemindahan pegangan ekuiti berkaitan Digital Nasional Berhad (DNB).


Menurut MBSB Research, transaksi pemindahan ekuiti antara Kementerian Kewangan (MoF), CelcomDigi Berhad dan Maxis Berhad dijangka hanya dimuktamadkan tiga pihak itu sekitar pertengahan tahun ini.


Berdasarkan pemerhatian firma penyelidikan tersebut, situasi berkenaan dikhuatiri memberi tekanan kepada keuntungan syarikat telekomunikasi terbabit bermula separuh kedua tahun kewangan 2026.


"Sehubungan itu, kami mengekalkan penarafan 'neutral' terhadap sektor ini memandangkan prospek pertumbuhan hasil yang dijangka kekal kadar sederhana sekitar 1% hingga 2% pada 2026," katanya.


MBSB Research menambah, CelcomDigi kekal sebagai satu-satunya saham dengan saranan 'beli' dalam sektor itu berikutan kedudukannya yang semakin kompetitif dari segi penawaran pelan mudah alih.


Dengan panduan hasil yang berdaya tahan bagi 2026, usaha meningkatkan kecekapan operasi dijangka terus menjadi faktor utama bagi mengekalkan atau meningkatkan keuntungan syarikat telekomunikasi.


Dari segi prestasi kewangan pula jelas firma penyelidikan tersebut, keputusan pada tiga bulan terakhir tahun lalu bagi syarikat telekomunikasi utama kebanyakannya berada dalam jangkaan.


"CelcomDigi dan Maxis masing-masing berjaya mencatatkan pendapatan terlaras setahun penuh yang memenuhi kira-kira 96.8% dan 101% daripada anggaran kami sendiri," jelas MBSB Research lagi.


Bagaimanapun, prestasi Telekom Malaysia Berhad (TM) sedikit lemah akibat margin keuntungan yang lebih rendah, menyebabkan keuntungan setahun penuhnya hanya mencapai 92.4% daripada unjuran.

 

telekomunikasi


Sebaliknya, Axiata Group Berhad mencatat prestasi lebih baik daripada jangkaan dengan pendapatan setahun penuh mencapai 108.8% daripada ramalan, didorong prestasi stabil operasi di pasaran.


Selain itu, MBSB Research berkata, segmen mudah alih pengguna adalah kekal penyumbang utama hasil bagi dua pengendali rangkaian mudah alih (MNO) iaitu Maxis (69.9%) dan CelcomDigi (72.7%).


"Maxis turut masih mendahului dari segi campuran pelanggan pascabayar dengan 61.9%, berbanding 55.3% bagi CelcomDigi, dengan peningkatan pelanggan pascabayar lebih menguntungkan," tambahnya.


Dengan pertumbuhan hasil yang rendah, firma itu menekankan bahawa pengendali telekomunikasi perlu terus memberi tumpuan kepada struktur kos yang lebih cekap bagi terus mengekalkan keuntungan.


Jelasnya, walaupun margin keuntungan Maxis dan TM menunjukkan sedikit peningkatan pada 2025, margin CelcomDigi pula susut kepada kira-kira 12.9% berbanding 13.3% pada tahun sebelumnya.


Namun, ia menjangkakan margin keuntungan CelcomDigi meningkat secara beransur-ansur bermula 2026 apabila syarikat memberi tumpuan kepada penjimatan kos operasi berbanding perbelanjaan modal.


"Dalam perkembangan lain pula, Maxis, CelcomDigi dan YTL Communications Sdn Bhd masing-masing sudah membayar RM327.8 juta bagi memperoleh pegangan dalam DNB daripada MoF," kata MBSB Research.


Pemindahan saham berkenaan jelasnya, dijangka hanya dapat diselesaikan menjelang pertengahan tahun ini, dan kesan perakaunan ekuiti diramal mula kelihatan bermula pada tempoh suku ketiga 2026.


Walaupun kesan kewangan dijangka tidak material bagi FY26, firma tersebut berkata tahap pencairan pendapatan kepada pemegang saham DNB masih belum dapat dipastikan sepenuhnya ketika ini.


Selain itu tambahnya, pertikaian antara TM dan DNB berhubung cadangan penamatan perjanjian akses 5G juga berpotensi menjejaskan trajektori pemulihan DNB. - DagangNews.com