Sektor teknologi Malaysia dianggar kekal mencabar pada separuh kedua 2025 - HLIB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sektor teknologi Malaysia dianggar kekal mencabar pada separuh kedua 2025 - HLIB

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 10 Julai - Sektor teknologi Malaysia dijangka kekal mencabar pada separuh kedua 2025 susulan ketidaktentuan perdagangan global dan risiko pendapatan, menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research.

 

Firma penyelidikan itu berkata, meskipun terdapat petunjuk awal suku kedua kekal agak kukuh, unjuran bagi suku ketiga dan keempat masih dibayangi cabaran yang meningkat.

 

“Tiga faktor utama menyokong pandangan kami. Pertama, unjuran permintaan akhir masih terbatas disebabkan ketidaktentuan dasar tarif AS, khususnya berkaitan tarif sektoral untuk cip semikonduktor.

 

"Walaupun rantaian bekalan sebelum ini meningkatkan permintaan sebagai langkah awal menampung risiko tarif, trend tersebut dijangka tidak berpanjangan selepas inventori dalam saluran pengedaran kembali normal," kata HLIB dalam nota kajiannya.

 

Firma itu berkata, faktor kedua ialah syarikat teknologi tempatan djangka berdepan tekanan kos yang lebih tinggi pada 2H25, termasuk tarif elektrik yang meningkat dan sumbangan dua peratus Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang diwajibkan bagi pekerja asing yang dilihat agak sukar dipindahkan sepenuhnya kepada pelanggan.

 

Selain itu, faktor seterusnya ialah prestasi pendapatan juga dijangka terkesan berikutan pertukaran mata wang asing kerana ringgit telah mengukuh kira-kira lima peratus berbanding dolar AS sejak awal tahun.

 

“Dalam persekitaran ini, kami melihat ruang terhad untuk perubahan positif dalam masa terdekat. Sentimen dijangka kekal suram sehingga jangkaan pendapatan disemak semula dan dasar tarif AS menjadi lebih jelas,” katanya.

 

HLIB turut memaklumkan bahawa Indeks Teknologi Kuala Lumpur telah merosot sebanyak 21.4 peratus dalam separuh pertama 2025 (1H25), jauh lebih lemah berbanding Indeks Komposit Kuala Lumpur yang hanya susut 6.7 peratus dalam tempoh sama.

 

“Namun, angka ini tidak mencerminkan situasi sebenar memandangkan tempoh tersebut menyaksikan turun naik yang ketara dengan pemulihan berbentuk V selepas Hari Pembebasan pada April, di mana pembelian terpilih saham terlebih jual telah memberikan pulangan yang bermakna,” tambahnya.

 

HLIB menyarankan pelabur memberi perhatian kepada beberapa peristiwa utama dalam masa terdekat termasuk pengumuman yang dijangka berlaku pada Ogos berkaitan tarif sektoral bawah Seksyen 232 bagi semikonduktor dan peralatan berkaitan serta tarikh akhir 1 Ogos bagi pelaksanaan tarif timbal balik.

 

Musim laporan pendapatan bagi Julai dan Ogos akan menjadi tumpuan utama apabila syarikat-syarikat mula memberikan unjuran prestasi bagi separuh kedua 2025 serta pemotongan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan AS.

 

Buat masa ini, HLIB mengekalkan saranan neutral terhadap sektor teknologi dan mengambil pendekatan pelaburan yang lebih berhati-hati dan terpilih.- DagangNews.com