KUALA LUMPUR 24 April - Prospek sektor teknologi tempatan diunjur kekal sebagai menarik walaupun terdapat banyak kelemahan permintaan dan perbelanjaan modal ketika ini, kata UOB Kay Hian (UOBKH).
Firma penyelidikan itu berkata, indeks sektor tersebut telah jatuh 32 peratus setakat ini, dengan kebanyakan saham di bawah liputannya didagangkan -1.0 sisihan piawai (SD) kepada purata pendapatan harga hadapan tujuh tahun.
Katanya, risiko masih ada ekoran kesan rangka kerja penyebaran kecerdasan buatan (AI) dan tarif Amerika Syarikat (AS), didorong oleh kebimbangan permintaan berkurangan, perbelanjaan modal tertangguh dan tekanan margin meningkat.
"Bagaimanapun, berita baiknya ialah, pada masa ini penilaian semasa bergantung andaian pendapatan 2025 yang masih optimis, menunjukkan potensi risiko menurun kepada jangkaan konsensus," katanya dalam satu nota kajian.
Semakan firma itu baru-baru ini menunjukkan, walaupun beberapa syarikat tempatan mengalami gangguan sementara selama dua minggu semasa 'Hari Pembebasan AS', operasi kembali normal tanpa sebarang pembatalan pesanan dilaporkan.
Menurutnya, situasi ini disokong penangguhan selama 90 hari pada tarif asas 10 peratus, yang telah memberikan kelegaan sementara tetapi risiko pendapatan berterusan, didorong oleh potensi kelemahan permintaan dan pemampatan margin.
"Secara konstruktif, hampir kesemua syarikat yang kami hubungi mengalami lonjakan, dirangsang tarif timbal balik AS sebanyak 24 peratus yang kompetitif untuk Malaysia sendiri," kata UOBKH.
Ia berkata semakan ke atas perkhidmatan pembuatan elektronik, pemasangan semikonduktor penyumberan luar dan pemain peralatan pengeluaran semikonduktor mencadangkan aliran pesanan kebanyakan syarikat separuh pertama 2025 kekal utuh.
"Jika ketidakpastian berterusan melangkaui penangguhan 90 hari semasa, kita boleh melihat stok inventori lebih berhati-hati dan perbelanjaan modal lemah, mencerminkan dinamik yang pernah dilihat pada 2018 dan 2019," kata UOBKH.
Firma tersebut masih mengekalkan pendirian "overweight" ke atas sektor teknologi dengan saranan "beli" secara taktikal serta menaik taraf Greatech Technology Berhad kepada "beli" atas alasan penilaian dan limpahan positif.
Ia susulan pelaksanaan tarif baharu ke atas panel solar Asia Tenggara, yang memberi manfaat kepada pelanggan utamanya tetapi menurunkan taraf Vitrox Corp Berhad kepada "jual" atas alasan penilaian tanpa pemulihan pendapatan kukuh. - DagangNews.com








