Sektor runcit Malaysia dijangka terus mencabar pada separuh kedua 2025 berikutan peningkatan kos operasi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sektor runcit Malaysia dijangka terus mencabar pada separuh kedua 2025 berikutan peningkatan kos operasi

Gambar/FB Sunway Velocity Mall

KUALA LUMPUR 23 Jun - Prospek sektor runcit Malaysia dijangka kekal mencabar pada separuh kedua 2025 berikutan peningkatan kos operasi selain tekanan berterusan di peringkat global dan tempatan.

 

Presiden Persatuan Pusat Beli-Belah Malaysia, Phang Sau Lian berkata, ketegangan geopolitik dan perang tarif menyebabkan lebih banyak syarikat dan barangan luar masuk ke pasaran Malaysia.

 

"Situasi ini memang memberi peluang, tetapi pada masa sama meningkatkan persaingan. Peruncit dan pengendali pusat membeli-belah tempatan perlu menjadi lebih cekap dan bersaing untuk terus bertahan," katanya kepada StarBiz.

 

Katanya, peningkatan kos perniagaan terus memberi kesan kepada industri runcit di dalam negara.

 

Sau Lian menjelaskan, peluasan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) pada bulan depan yang melibatkan sewaan ruang komersial, pembinaan, kecantikan dan makanan tertentu boleh memberi kesan besar kepada operasi pusat membeli-belah.

 

"Cukai tambahan ini boleh mengurangkan keuntungan, melambatkan penyewaan ruang, menaikkan harga barang dan akhirnya menyebabkan tekanan inflasi," jelasnya.

 

Beliau juga berkata, kenaikan tarif elektrik, gaji minimum dan pengurangan subsidi menyebabkan banyak peruncit dan pemilik pusat membeli-belah terpaksa mengurangkan perbelanjaan untuk pemasaran dan rancangan pembesaran. 

 

"Ini akhirnya menjejaskan suasana meriah di pusat membeli-belah," ujarnya.

 

Beliau menambah, pengumuman syarikat besar seperti Petronas untuk memberhentikan pekerja turut menimbulkan kebimbangan tentang pasaran pekerjaan, sekali gus mengurangkan keyakinan dan perbelanjaan pengguna.

 

Berhubung prestasi awal tahun 2025, Sau Lian menjelaskan, jualan sempena Tahun Baharu Cina lemah kerana tempoh perayaan yang singkat selepas Krismas dan promosi akhir tahun, menyebabkan pengguna kurang berbelanja.

 

"Jualan Hari Raya juga tidak mencapai jangkaan kerana pengguna mengutamakan perbelanjaan sekolah yang berlaku serentak dengan musim perayaan," katanya.

 

Tambah beliau, platform jualan dalam talian yang menawarkan harga terlalu murah tanpa cukai atau pematuhan undang-undang, turut menjejaskan peruncit fizikal.

 

"Faktor global seperti kenaikan tarif dan gangguan rantaian bekalan juga memberi kesan kepada strategi syarikat, yang kini lebih tertumpu kepada kepelbagaian pasaran dan peningkatan kecekapan," ujarnya.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Sunway Malls, HC Chan berkata, syarikat kini lebih berhati-hati kerana kos operasi masih tinggi, terutama akibat peluasan SST dan dasar kerajaan yang akan dilaksanakan tidak lama lagi.

 

"Keyakinan pengguna dijangka kekal rendah ekoran keadaan ekonomi yang tidak menentu. Ini adalah tempoh yang sukar," katanya.

 

Beliau bagaimanapun berkata, terdapat beberapa segmen dalam sektor runcit yang masih mencatat prestasi baik, seperti jenama permainan dari Asia, jenama makanan dan minuman tempatan.

 

"Jenama-jenama ini menunjukkan pertumbuhan yang kukuh dan dijangka terus menyokong jualan runcit," jelasnya.

 

Chan dalam pada itu menyifatkan, sektor runcit berdepan dua cabaran besar pada separuh pertama 2025 iaitu peningkatan kos dan kelemahan perbelanjaan pengguna.

 

"Tahun Baharu Cina yang jatuh awal pada Januari dan prestasi lemah jualan Hari Raya menyebabkan sektor ini kekurangan ruang untuk pulih," katanya.

 

Namun beliau berkata, sektor pelancongan Malaysia menjadi harapan baharu kepada industri runcit.

 

"Bilangan pelawat meningkat 21% dalam empat bulan pertama tahun ini. Ini memberi kesan positif kepada beberapa pusat membeli-belah kami," ujarnya.

 

Jelas beliau, Sunway Velocity Mall contohnya menerima ramai pelawat dari China, manakala Sunway Putra Mall menarik pelancong dari India dan negara-negara lain.

 

Namun begitu, beliau menjelaskan bahawa industri runcit masih bergantung kepada pengguna tempatan kerana kesan pelancongan hanya dirasai di kawasan tertentu. - DagangNews.com