KUALA LUMPUR 14 Mei — Margin syarikat-syarikat perladangan berkemungkinan kekal berdepan tekanan disebabkan peningkatan kos pengeluaran secara berterusan, kata MIDF Research.
Firma penyelidikan tersebut berkata, keadaan itu berpunca daripada kos baja lebih mahal yang dibeli pada separuh kedua 2024, ditambah dengan isu perbelanjaan pembelian buah tandan segar (BTS) luar yang lebih tinggi.
Perkembangan negatif itu tambahnya, berlaku pula di tengah-tengah penggunaan kilang yang tidak seimbang dan hanya segelintir syarikat dijangka mendapat manfaat kenaikan harga minyak sawit mentah (MSM).
"Kami mengekalkan panggilan "neutral" ketika ini, sementara harga MSM dijangka kekal tinggi secara relatifnya, tetapi pengeluaran berkemungkinan berprestasi rendah pada 2025," katanya dalam satu nota kajian.
Bagaimanapun firma penyelidikan tersebut berpendapat, hasil syarikat perladangan dalam sektor itu diramal terus meningkat dalam tempoh separuh pertama 2025 sejajar dengan andaian harga purata MSM lebih tinggi
Justeru, ia mengesyorkan pelabur untuk mengelak daripada syarikat-syarikat yang kecil dengan pendedahan ketara kepada pembelian BTS luar, kerana faktor negatif itu juga boleh membahayakan pengeluaran MSM mereka.
Sebaliknya, MIDF Research mencadangkan pelabur agar memberi tumpuan kepada syarikat besar dengan perolehan MSM yang melebihi 50 peratus daripada ladang mereka sendiri dan menawarkan lebih kestabilan dalam harga MSM.
"Antaranya IOI Corporation Berhad yang masih dikekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran (TP) meningkat kepada RM4.42 sesaham disebabkan kos pengeluarannya adalah rendah iaitu RM2,400 hingga RM2,600 setiap tan," katanya.
Turut mendapat tumpuan firma penyelidikan itu ialah SD Guthrie Berhad dengan saranan masih lagi "beli" ke atas syarikat berkenaan manakala TP pula diunjur RM5.43 sesaham. - DagangNews.com








