KUALA LUMPUR 7 Nov – Aktiviti perindustrian Malaysia kekal berkembang kukuh pada September 2025 apabila Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) meningkat 5.7% berbanding tempoh sama tahun lalu, disokong oleh pertumbuhan kukuh dalam sektor perlombongan dan pembuatan.
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) berkata, peningkatan itu didorong oleh pengembangan sektor perlombongan sebanyak 10.2% dan sektor pembuatan 5% manakala sektor elektrik turut mencatatkan pertumbuhan 2.8%.
Berbanding bulan Ogos, IPP bagaimanapun menyusut sedikit sebanyak 0.02 peratus.
Menurut Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Sri Dr Mohd Uzir Mahidin, pertumbuhan dalam sektor pembuatan disokong oleh peningkatan dalam industri berorientasikan domestik dan eksport.
“Bagi industri berorientasikan domestik, pertumbuhan 5.3% dicatatkan pada September berbanding 3.8% pada Ogos, dipacu oleh pembuatan produk makanan prosesan (9.0%), logam asas (6.1%) serta produk logam siap kecuali mesin dan kelengkapan (4.5%).
“Sementara itu, industri berorientasikan eksport meningkat 4.8% berbanding 2.3% pada bulan sebelumnya, disokong oleh pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal (8.8%) serta pembuatan minyak dan lemak daripada sayuran dan haiwan (7.4%),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam sektor perlombongan, pertumbuhan 10.2% didorong oleh peningkatan pengeluaran petroleum mentah dan kondensat sebanyak 13% sementara gas asli meningkat 8.5%. Namun secara bulanan, indeks sektor itu menurun 2.9%.
Tambahnya, bagi sektor elektrik, indeks meningkat 2.8% pada September berbanding 1.2% pada Ogos, namun menurun 4.4% dari segi perbandingan bulan ke bulan.
“Di peringkat global, kebanyakan negara turut mencatatkan peningkatan IPP pada September 2025, antaranya Singapura (16.1%), Taiwan (15.5%), Korea Selatan (11.6%), China (6.5%), Jepun (3.4%) dan Thailand (1.0%).
“Bagi suku ketiga 2025, IPP Malaysia mencatat pertumbuhan ketara sebanyak 4.9% berbanding 2% pada suku sebelumnya.
“Ini disumbangkan oleh peningkatan dalam semua sektor iaitu pembuatan (4%), perlombongan (10.3%) dan elektrik (1.9%),” katanya. Secara suku ke suku, IPP meningkat 6.6%.
Bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini (Januari–September 2025), IPP berkembang pada kadar sederhana 3.1% berbanding 3.8% dalam tempoh sama tahun sebelumnya, dipengaruhi oleh pengembangan dalam indeks pembuatan (4.0%) serta pertumbuhan marginal bagi perlombongan (0.2%) dan elektrik (0.1%).
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Malaysia akan mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Sistem Statistik Komuniti ASEAN ke-15 (ACSS15) tahun ini, bagi memperkukuh kerjasama serantau dalam bidang statistik.
“DOSM turut mencatat kejayaan di peringkat antarabangsa apabila Malaysia menduduki tempat pertama dunia dalam laporan Open Data Inventory (ODIN) 2024/25 oleh Open Data Watch, mengatasi 197 negara lain, lonjakan besar daripada kedudukan ke-67 dua tahun lalu,” katanya. - DagangNews.com








