KUALA LUMPUR 3 Jun — Sektor perbankan di negara ini diunjur perlu berdepan dengan dasar perdagangan asing yang tidak menggalakkan untuk kekal bertahan, terutama aktiviti pembiayaannya, kata firma-firma penyelidikan.
Kenanga Research berkata, kebanyakan bank diramal harus berdaya tahan berikutan disokong oleh faktor kadar pendedahan terbuka kepada segmen berkaitan perdagangan yang secara kebiasaannya di bawah lima peratus.
Ia merujuk Indeks Perkhidmatan Kewangan di Bursa Malaysia yang merosot lebih 6 peratus setakat ini, dibebani oleh faktor kebimbangan terhadap dasar tarif Amerika Syarikat (AS) dan kerisauan kemelesetan yang lebih meluas.
"Kami menjangkakan tumpuan sektor perbankan yang lebih kepada aspek dipacu domestik seperti aktiviti pinjaman perumahan serta pembiayaan untuk perusahaan kecil dan sederhana," kata firma tersebut dalam satu nota kajiannya.
Tambahnya, pinjaman sistem perbankan meningkat 5.1 peratus tahun ke tahun pada April 2025, sejajar dengan ramalan pertumbuhan setahun penuh Kenanga sekitar 6 peratus dan dijangka melonjak pada separuh kedua tahun ini.
Perkembangan tersebut kata firma berkenaan, disokong oleh kesan asas yang lebih tinggi serta permintaan agak kukuh untuk aktiviti pembiayaan modal pusingan kerja, terutamanya daripada sektor pembuatan dan perkhidmatan.
"Kami tidak bimbang mengenai penurunan sedikit dari bulan ke bulan, kerana faham elemen bermusim mungkin masih berlangsung manakala pertumbuhan permohonan pinjaman pula terus kelihatan memberangsangkan," tambahnya.
Deposit kata Kenanga, meningkat sebanyak 3.8 peratus, dengan bank-bank terus memilih deposit jangka pendek untuk mengoptimumkan kos pembiayaan, sambil ia mengekalkan saranan "overweight" terhadap sektor perbankan.
Hong Leong Investment Bank (HLIB) pula menjangka pengurangan hingga 15 mata asas dalam kadar pinjaman promosi dan kempen sepanjang Mei, yang dilihat sebagai langkah proaktif kemungkinan pengurangan kadar dasar semalaman.
"Kualiti aset terus berdaya tahan tetapi kadar pinjaman purata terus mengecil, memberikan tekanan dan kami menjangkakan margin faedah bersih 2QFY25 akan bertahan pada pelbagai bentuk strategi," katanya dalam nota kajian.
Ini tambahnya termasuk pinjaman disiplin, kos pengurusan dana yang proaktif dan kecairan Keperluan Rizab Berkanun tambahan untuk mengimbangi sebahagian daripada kesannya.
Pilihan teratas dalam kalangan penganalisis termasuk AMMB Holdings Berhad untuk pulangan ekuiti yang bertambah baik dan pembayaran dividen lebih tinggi, manakala Malayan Banking Berhad untuk bahagian pasaran dominan dan kualiti aset industri. - DagangNews.com








