Sektor logistik dijangka terus catat pertumbuhan meskipun dagangan global perlahan – Kenanga Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sektor logistik dijangka terus catat pertumbuhan meskipun dagangan global perlahan – Kenanga Research

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 10 Julai - Sektor logistik Malaysia dijangka terus mencatat pertumbuhan walaupun berdepan kemerosotan aktiviti dagangan global tahun ini, menurut Kenanga Research.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pertumbuhan sektor logistik domestik dijangka kekal stabil sehingga tahun depan, disokong oleh beberapa faktor utama.

 

Antaranya termasuklah pertumbuhan kukuh sektor e-Dagang, kitaran teknologi global yang didorong oleh permintaan terhadap kecerdasan buatan (AI) dan ekonomi Amerika Syarikat yang teguh.

 

“Faktor lain ialah potensi pengalihan perdagangan susulan ketegangan perdagangan AS-China serta lonjakan jangka pendek kontena di pelabuhan tempatan apabila pembeli antarabangsa meningkatkan stok semasa penangguhan tarif AS,” menurut Kenanga dalam nota kajiannya.

 

Pada April lalu, Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) menurunkan unjuran pertumbuhan volum dagangan barangan global kepada -0.2% tahun ini, berbanding unjuran awal 3%, disebabkan ketidaktentuan perdagangan dan peningkatan tarif, termasuk potensi konflik yang semakin memuncak di Timur Tengah.

 

Bagaimanapun, WTO turut menjangkakan pemulihan sederhana sebanyak 2.5% pada tahun hadapan.

 

“Sektor logistik domestik kekal kukuh apabila jumlah dagangan Malaysia melonjak 6.2%, dengan lebihan dagangan sebanyak RM46.9 bilion setakat Mei.

 

“Lonjakan ini banyak disumbangkan oleh sektor logistik pihak ketiga yang didorong oleh trend ‘on-shoring’ serta pertumbuhan e-Dagang yang pesat,” kata Kenanga.

 

Pakar industri menjangka jumlah dagangan kasar (gross merchandise volume) sektor e-Dagang tempatan bakal berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) sebanyak 7% dari 2023 hingga 2027, meningkat kepada 1.9 juta tan pada 2027 berbanding 1.4 juta tan pada 2023.

 

Namun begitu, pemain tempatan seperti Swift Haulage Bhd berdepan persaingan sengit daripada syarikat dari China, yang mengehadkan keupayaan mereka untuk memanfaatkan sepenuhnya pertumbuhan perdagangan Malaysia.

 

Kenanga turut mengenal pasti beberapa trend utama yang perlu diberi perhatian termasuk peningkatan permintaan terhadap hab pengedaran dan gudang untuk menyokong penghantaran tepat pada masa, peralihan semula pengeluaran ke dalam negara (reshoring) dan kawasan berhampiran (near-shoring), automasi dan integrasi dengan sistem pelanggan serta peluasan gudang bagi mengurangkan kos penghantaran dan meningkatkan keselamatan rantaian bekalan.

 

Permintaan tinggi terhadap gudang penyimpanan sejuk juga meningkat berikutan pertumbuhan pesat syarikat runcit dalam talian.

 

Kenanga mengekalkan penarafan “neutral” terhadap sektor logistik.

 

Syarikat pilihan utama firma penyelidikan itu ialah Westports Holdings Bhd, yang mencatat pendapatan kukuh menerusi kontrak jangka panjang dengan pelanggan utama seperti Ocean Alliance, selain prospek pertumbuhan jangka panjang hasil daripada projek peluasan Westports 2 dan daya saing harga berbanding pesaing seperti Pelabuhan Tanjung Pelepas dan Pelabuhan Singapura.

 

Kenanga turut menaik taraf saranan Westports kepada “outperform”, berikutan keyakinan bahawa syarikat itu mampu menghadapi cabaran dagangan global dengan menjadi penerima manfaat utama daripada pengalihan perdagangan, serta langkah efektif menangani isu kesesakan melalui kenaikan ketara caj penyimpanan kontena.- DagangNews.com