Sektor bahan binaan diyakini kekal stabil diorong pemulihan permintaan keluli - Kenanga | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sektor bahan binaan diyakini kekal stabil diorong pemulihan permintaan keluli - Kenanga

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 11 April — Sektor bahan binaan diyakini kekal stabil didorong pemulihan permintaan keluli dan pelaksanaan tarif timbal balik dari Amerika Syarikat (AS), kata Kenanga Research.


Firma penyelidikan tersebut berkata, impak cukai kontroversi itu mungkin hanya memberikan peningkatan jangka pendek kepada harga aluminium tetapi kesannya diunjur terhad kerana pasaran dijangka cuba menyesuaikan keadaan melalui pelbagai langkah.


Antaranya ialah melalui perluasan perdagangan eksport produk keluli kepada pasaran bukan AS atau syarikat yang terlibat dalam bahan binaan melaksanakan pemotongan pengeluaran untuk mengekalkan keseimbangan permintaan dan bekalan


"Kami menjangkakan situasi harga keluli yang masih lagi stabil dengan kecenderungan trend menaik, selain menyokong usaha normalisasi margin keuntungan dilakukan oleh pemain industri berkenaan," kata firma tersebut dalam satu nota kajian.


Permintaan aluminium juga katanya, dijangka pulih pada 2025 daripada persekitaran lembap yan direkodkan sebelum ini, didorong oleh kestabilan pasaran hartanah, rangsangan kerajaan dan sentimen sektor pembinaan bertambah baik di China sendiri.


Bagaimanapun, firma penyelidikan itu memberi amaran bahawa faktor bekalan air adalah penentu kerana berpotensi ada kenaikan tarif ditetapkan bagi meningkatkan aliran tunai kepada pihak pengendali air dan memacu gelombang baharu projek infrastruktur.


Pengeluar paip air kata Kenanga, berpeluang mendapat keuntungan tinggi apabila perbelanjaan terhadap bahan keluli tersebut meningkat terutama untuk pembangunan prasarana yang berskala besar akan dilaksanakan sepanjang 2025.


"Ini termasuk Skim Pemindahan Air Mentah Sungai Perak ke Pulau Pinang melalui kerjasama Permodalan Nasional Berhad, Sime Darby dan SD Guthrie Berhad serta Loji Rawatan Air Langat 2 dan Sungai Rasau Fasa 2 di Lembah Klang," katanya.


Berdasarkan anggaran firma penyelidikan tersebut, jumlah nilai komponen paip air untuk projek-projek berkenaan boleh mencecah lebih RM1.1 bilion selain sentimen terhadap saham berkaitan air telah meningkat dengan ketara sejak tahun lepas. 


Ia susulan kenaikan tarif air di seluruh negara sehingga 30 peratus bermula Julai 2025 dengan subkategori baharu untuk pusat data serta disokong pelarasan tarif berterusan dan kemajuan beransur-ansur dalam pembangunan infrastruktur air.


Sementara itu kata TA Research, pengeluar keluli bergelut ekoran keuntungan lemah di China sehingga memaksa pemotongan pengeluaran tetapi jika had kapasiti dikuatkuasakan, kadar penggunaan lebih tinggi boleh menaikkan harga bahan itu.


"Dengan harga keluli menghampiri paras terendah dalam sejarah, sokongan kukuh perlu disediakan untuk pergerakan menaik kerana kestabilan bermakna kos baik untuk pemain produk mengurangkan keadaan pendapatan tidak menentu," katanya.


Ia kekal saranan "overweight" pada sektor ini dengan harga sasaran sesaham syarikat seperti Press Metal diunjurkan RM6.10 manakala Engtex pula RM0.81 dan kedua-duanya menjadi pilihan utama firma tersebut. - DagangNews.com