Segmen Rumusan Infrastruktur Digital dijangka pacu pertumbuhan ITMAX FY26, nilai kontrak belum dibil sekitar RM1.5 bilion  - Maybank IB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Segmen Rumusan Infrastruktur Digital dijangka pacu pertumbuhan ITMAX FY26, nilai kontrak belum dibil sekitar RM1.5 bilion  - Maybank IB

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 2 Mac - Segmen Rumusan Infrastruktur Digital dijangka menjadi pemacu pertumbuhan utama ITMAX System Berhad pada FY26, kata Maybank Investment Bank (Maybank IB).

 

Firma penyelidikan itu berkata, dengan sebahagian besar kerja pemasangan sistem pengawasan video telah disiapkan dan kini beralih kepada model langganan, segmen ini dijangka menyumbang aliran pendapatan berulang yang lebih stabil dan mampan.

 

Katanya, nilai kontrak belum dibilkan bagi segmen berkenaan dianggarkan sekitar RM1.5 bilion, memberikan keterlihatan pendapatan yang kukuh dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

 

"Kami juga percaya ITMAX dilihat berada dalam kedudukan baik untuk terus mengembangkan rangkaian CCTV di bawah inisiatif bandar pintar, disokong rekod prestasi kukuh dalam meningkatkan kecekapan operasi pihak berkuasa tempatan," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Maybank IB menambah, keyakinan positif terhadap prospek ITMAX turut disokong buku tempahan semasa berjumlah RM2.5 bilion, mencerminkan asas pendapatan yang mampan.

 

Justeru firma penyelidika itu mengekalkan saranan BELI ke atas saham ITMAX dengan harga sasaran (TP) RM5.67, berdasarkan penilaian aliran tunai terdiskaun (DCF) dengan andaian WACC 7% dan kadar pertumbuhan jangka panjang (LTG) 3%.

 

Maybank IB berkata, ITMAX mencapai satu lagi pencapaian operasi penting apabila menyiapkan sepenuhnya kerja pemasangan tambahan 5,000 unit kamera litar tertutup (CCTV) di bawah kontrak VO11 bagi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

 

Syarikat kini beralih ke fasa pentauliahan, dengan pihak pengurusan menjangkakan sumbangan hasil daripada projek berkenaan akan mula direkodkan seawal suku pertama tahun kewangan 2026 (1QFY26).

 

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri memaklumkan DBKL memerlukan sekurang-kurangnya 20,000 unit CCTV bagi tujuan pencegahan jenayah dan pemantauan trafik di ibu negara. 

 

Setakat ini, ITMAX telah memasang kira-kira 10,000 unit, sekali gus meletakkan syarikat dalam kedudukan strategik untuk berpotensi memperoleh baki pemasangan yang diperlukan.

 

Dalam perkembangan berasingan, ITMAX turut difahamkan telah dijemput menyertai tender pemasangan CCTV bagi Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK). 

 

Maybank IB berkata, sekiranya berjaya, ia bakal menjadi langkah pengembangan pertama syarikat ke luar Semenanjung Malaysia. - DagangNews.com