KUALA LUMPUR 16 Mei — Swift Haulage Berhad diunjur mampu menjana hasil daripada segmen pergudangan walaupun berlaku sedikit penyusutan dalam segmen pengangkutan kontena, kata MIDF Research.
Firma penyelidikan itu berkata, segmen pergudangan kumpulan itu menyumbang secara positif kepada hasil tahun penuh berikutan usaha penambahan kapasiti sebanyak 35,953 meter persegi pada FY24.
Ia turut berpendirian sebagai kekal positif untuk segmen berkenaan dengan penggunaan secara purata gudang-gudang yang dikendalikan oleh Swift Haulage direkodkan sudah pun berada pada tahap optimum.
"Bagaimanapun kami perhatikan ada sedikit penyusutan dalam segmen pengangkutan kontenanya dengan bahagian pasaran kurang kepada 7.7 peratus pada FY24," katanya dalam satu nota kajian.
Secara keseluruhan, hasil Swift Haulage pada 1QFY25 meningkat 3.5 peratus didorong penambahan kapasiti pergudangan dan penggunaan lebih baik serta jumlah tinggi bagi pekerja pengangkutannya.
Keadaan itu kata firma tersebut, membantu dalam mengimbangi prestasi lemah segmen pengangkutan darat apabila hasil merosot 5.1 peratus tahun ke tahun berikutan isu perjalanan jarak pendek.
Hasil segmen berkenaan tidak berubah dengan jatuh 0.7 peratus tahun ke tahun namun keadaan itu ditampung dengan keuntungan sebanyak RM12.9 juta daripada aktiviti pelupusan aset pada 1QFY24.
MIDF Research berkata, keuntungan teras kumpulan tersebut sebanyak RM7.3 juta adalah sejajar dengan ramalan kira-kira 23 peratus daripada anggaran tahun penuh dan konsensus firma berkenaan.
"Walaupun tiada perubahan pada anggaran hasil, pendapatan Swift Haulage pada 1QFY25 dalam jangkaan dan kami masih mengekalkan saranan "beli" dengan unjuran pulangan lebih 10 peratus," katanya.
Selain itu, firma tersebut menetapkan harga sasaran baharu yang lebih tinggi sedikit kepada 43 sen berbanding 40 sen selepas menilai unjuran untuk tahun kewangan 2026. - DagangNews.com








