KUALA LUMPUR 23 April – AmFirst Real Estate Investment Trust kekal positif terhadap prospek perniagaannya walaupun berdepan tekanan kos dan ketidaktentuan pasaran, selepas mencatatkan peningkatan pendapatan hartanah bersih (NPI) bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026 (FY2026).
REIT yang memberi tumpuan kepada aset hartanah runcit dan pejabat itu merekodkan NPI sebanyak RM64.1 juta, meningkat 5% berbanding RM61.04 juta pada tahun sebelumnya.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Kumpulan itu berkata hasil AmFirst turut meningkat 5.2% kepada RM110.26 juta, disokong oleh kadar penghunian yang lebih tinggi serta kenaikan kadar sewa bagi beberapa aset utama.
Bagaimanapun, peningkatan tersebut sebahagiannya diimbangi oleh kenaikan kos operasi termasuk perbelanjaan pengurusan bangunan dan caj penilaian yang lebih tinggi.
“Bagi suku keempat tahun kewangan tersebut, NPI AmFirst REIT meningkat 9.2% kepada RM17.78 juta, manakala hasil melonjak 11.5% kepada RM28.68 juta,” katanya dalam makluman tersebut.
Syarikat itu turut mengumumkan agihan pendapatan akhir per unit (DPU) sebanyak 1.6 sen, meningkat daripada 1.4 sen pada tempoh sama tahun sebelumnya.
Secara keseluruhan, DPU bagi FY2026 meningkat kepada 2.87 sen berbanding 2.4 sen pada tahun kewangan sebelumnya, mencerminkan prestasi pendapatan yang lebih baik.
AmFirst REIT menjelaskan bahawa pasaran pejabat menunjukkan pemulihan secara beransur-ansur disokong oleh kadar penghunian yang stabil, manakala segmen runcit kekal berdaya tahan berikutan permintaan domestik yang kukuh dan perbelanjaan pelancongan yang memberangsangkan.
Namun, kumpulan itu sedar cabaran dihadapi terutama dalam berdepan tekanan kos susulan peluasan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) serta kenaikan kos buruh, selain risiko geopolitik yang boleh menjejaskan sentimen pasaran.
Menurut pengurusan, prestasi pendapatan direalisasikan terus menunjukkan momentum positif hasil pertumbuhan hasil dan pengoptimuman kos yang berdisiplin.
“Bagi prospek akan datang, kumpulan kekal berhati-hati optimis dan akan terus memberi tumpuan kepada pengurusan aset secara proaktif, pengurusan modal berhemat serta strategi rasionalisasi dan kepelbagaian portfolio bagi memastikan pulangan mampan kepada pemegang unit,” katanya. - DagangNews.com








