Segmen pascabayar terus pacu pertumbuhan sektor telekomunikasi - MBSB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Segmen pascabayar terus pacu pertumbuhan sektor telekomunikasi - MBSB Research

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 17 Dis - Segmen pascabayar kekal menjadi tumpuan pemain industri telekomunikasi bagi memacu pertumbuhan mapan dalam persekitaran pasaran semakin kompetetif khususnya dalam segmen prabayar, menurut MBSB Research.

 

Menurut firma penyelidikan itu, sehubungan itu pemain industri kini giat memindahkan pelanggan daripada prabayar kepada pascabayar ekoran penyusutan berterusan dalam segmen itu. 

 

"Dari segi operasi, segmen mudah alih pengguna kekal sebagai penyumbang utama hasil, dengan fokus berterusan terhadap pengembangan segmen pascabayar. Sumbangan segmen ini merangkumi 59.7% dan 74.0% daripada jumlah hasil Maxis dan CelcomDigi (CDB). 

 

"Usaha migrasi pelanggan daripada prabayar kepada pascabayar terus menunjukkan hasil positif, apabila pangkalan pelanggan pascabayar Maxis dan CDB masing-masing meningkat sebanyak 3.2% dan 5.3% tahun ke tahun," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Menurut MBSB,  Purata Pendapatan Seorang Pengguna (ARPU) pascabayar CDB kekal berdaya tahan pada RM60 sebulan, manakala Maxis mencatat sedikit kelemahan kepada RM70.8 sebulan berbanding RM73.5 sebelum ini. 

 

Namun, berdasarkan prestasi kumulatif 9MFY25, Maxis dilihat mempunyai campuran pelanggan mudah alih yang lebih menguntungkan, dengan hasil pascabayar merangkumi 60.7% daripada jumlah hasil mudah alih, berbanding 48.4% bagi CDB.

 

MBSB berkata, dari segi prestasi pendapatan suku ketiga tahun kewangan 2025 (3QFY25) bagi sektor telekomunikasi secara keseluruhannya mencatat keputusan yang selaras dengan jangkaan penganalisis, tanpa sebarang kejutan besar, dengan Telekom Malaysia Bhd (TM) muncul sebagai pengecualian berikutan keputusan yang lebih kukuh daripada jangkaan.

 

Bagi musim keputusan 3QFY25, pendapatan terlaras kumulatif sembilan bulan FY25 (9MFY25) CDB, Maxis Bhd dan Axiata Group Bhd masing-masing merangkumi 73.6%, 76.5% dan 76.6% daripada anggaran pendapatan penuh FY25. 

 

TM pula mencatat keputusan luar jangka hasil kadar cukai efektif yang lebih rendah susulan penilaian semula peruntukan cukai tertunda, sekali gus mendorong pendapatan terlaras 9MFY25 kepada 86.0% daripada unjuran setahun penuh.

 

Susulan itu, MBSB mengekalkan saranan NEUTRAL terhadap sektor telekomunikasi. Saranan NEUTRAL untuk TM turut dikekalkan dengan harga sasaran tidak berubah pada RM7.21. Bagaimanapun, perubahan dibuat terhadap penarafan dan harga sasaran bagi Axiata dan Maxis.

 

Axiata dinaik taraf kepada NEUTRAL dengan harga sasaran disemak kepada RM2.29, disokong oleh sumbangan kukuh daripada pasaran sempadan serta kedudukan kunci kira-kira yang lebih sihat. Sebaliknya, Maxis diturunkan taraf kepada NEUTRAL dengan harga sasaran lebih rendah pada RM3.90, berikutan potensi risiko pendapatan susulan tanggungjawab yang lebih tinggi terhadap Digital Nasional Bhd (DNB).

 

Dalam perkembangan berasingan, CDB dinaik taraf kepada BELI dengan harga sasaran dikekalkan pada RM3.67, didorong oleh kedudukan operasi yang semakin kukuh apabila aktiviti integrasi menghampiri fasa penyelesaian menjelang 2026. 

 

Penilaian yang menarik turut dilihat menyediakan peluang kemasukan yang baik kepada pelabur. Namun begitu, MBSB mengingatkan bahawa risiko pendapatan masih wujud, terutamanya sekiranya pengendali rangkaian mudah alih meningkatkan pegangan dalam DNB. - DagangNews.com