Sedania berjaya kecilkan kerugian, hasil 1QFY26 naik kepada RM22.44 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sedania berjaya kecilkan kerugian, hasil 1QFY26 naik kepada RM22.44 juta

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 20 NovSedania Innovator Bhd berjaya mengurangkan kerugian bagi suku pertama tahun kewangan 2026 (FY26), dengan peningkatan ketara dalam kedua-dua segmen jenama lestari dan teknologi pengguna, sekali gus memperkukuh momentum pertumbuhan kumpulan itu untuk baki tahun ini.

 

Menurut Pengarah Urusannya, Datuk Azrin Mohd Noor, keputusan suku tersebut menunjukkan kekuatan portfolio perniagaan Sedania yang pelbagai serta manfaat daripada disiplin kos yang lebih ketat dan penambahbaikan operasi.

 

“Kami memulakan suku ini dengan kukuh, dengan pertumbuhan tahun ke tahun (y-o-y) direkodkan bagi segmen jenama lestari dan teknologi pengguna. Ini mencerminkan kekuatan portfolio kami yang pelbagai dan impak langkah penambahbaikan operasi,” katanya dalam kenyataan mengumumkan keputusan kewangan kumpulan.

 

Bagi suku pertama berakhir 30 September 2025, Sedania melaporkan kerugian bersih mengecil kepada RM9,000, berbanding RM685,000 pada suku sama tahun lalu.

 

Dari segi prestasi perolehan, kumpulan mencatat peningkatan pendapatan kepada RM22.44 juta, berbanding RM15.88 juta pada suku sebelumnya, disokong oleh pertumbuhan kukuh dalam kedua-dua segmen utama.

 

Segmen jenama lestari, merangkumi Offspring dan Tanamera, melonjak 40% y-o-y kepada RM18.79 juta, dipacu prestasi domestik yang kukuh, permintaan antarabangsa yang berkembang serta pengukuhan saluran digital dan runcit.

 

Sementara itu, segmen teknologi pengguna lestari turut mencatat lonjakan 42% y-o-y kepada RM3.39 juta, disumbangkan terutamanya oleh bahagian fintech yang merekodkan RM3.1 juta, hasil peningkatan penggunaan platform As-Sidq dan program Pembiayaan GoHalal. - DagangNews.com