KUALA LUMPUR 8 Sept - Sebanyak 2.85 juta atau 38.3% daripada 7.44 juta ahli aktif formal Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berumur 18 hingga 55 tahun telah mencapai tahap simpanan asas mengikut umur setakat 31 Julai 2025, berbanding hanya 30.4% pada Disember 2022 iaitu setelah impak pengeluaran-pengeluaran berkaitan COVID-19.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, peningkatan yang tinggi dalam kalangan ahli aktif formal adalah lebih mencerminkan situasi sebenar kerana mereka merupakan sebahagian daripada tenaga kerja formal yang sedang bekerja dan mencarum.
"Melihat pencapaian berdasarkan pecahan kaum-kaum utama, pencapaian simpanan asas mengikut umur bagi ahli aktif formal KWSP yang berumur 18 hingga 55 tahun adalah kaum Bumiputera mencatatkan seramai 1.38 juta orang.
"Ini diikuti oleh kaum Cina iaitu seramai 1.22 juta orang, kaum India pula seramai 214,000 orang, manakala kaum lain-lain seramai 38,000u orang yang telah mencapai simpanan asas mengikut umur," katanya dalam jawapan bagi pertanyaan lisan di Dewan Negara hari ini.

Terdahulu Senator Mohd Hasbie Muda meminta Menteri Kewangan menyatakan berapakah jumlah pencarum skim KWSP berdasarkan kaum yang berusia melebihi 55 tahun pada tahun ini dan mempunyai simpanan yang mencukupi bagi menghadapi usia pencen mereka.
Amir Hamzah berkata, salah satu faktor utama yang menyumbang kepada tahap simpanan ahli KWSP yang rendah, khususnya dalam kalangan ahli Bumiputera, adalah kesan daripada beberapa siri pengeluaran khas yang dilaksanakan ketika krisis kesihatan dan ekonomi semasa pandemik COVID-19 dahulu.
"Walaupun langkah tersebut dapat membantu meringankan beban kewangan ahli pada waktu tersebut, ianya telah menjejaskan kedudukan simpanan persaraan yang kini masih dalam proses untuk dibina semula," katanya.
Beliau menambah, oleh itu tumpuan pada masa kini, akan diberikan kepada usaha membina semula simpanan persaraan dan memastikan ahli menikmati pendapatan persaraan yang mampan.
Amir Hamzah berkata, pada masa kini, ahli KWSP yang telah mencapai umur 55 tahun boleh memilih untuk mengeluarkan dana persaraan mereka sama ada secara sebahagian, berkala atau pengeluaran penuh.
Sehubungan itu, katanya, baki simpanan persaraan ahli KWSP yang telah mencapai umur 55 tahun adalah tidak sesuai dijadikan ukuran sebagai mencukupi untuk tujuan persaraan.
"Pengukuran yang lebih sesuai bagi tahap kecukupan simpanan ahli KWSP adalah pencapaian simpanan asas mengikut umur pada fasa pengumpulan iaitu sebelum ahli boleh membuat pengeluaran bagi tujuan persaraan apabila mencapai umur 55 tahun," katanya. - DagangNews.com








