KUALA LUMPUR 5 Nov – SD Guthrie Bhd melantik Mohd Haris Mohd Arshad sebagai Pengarah Urusan baharu berkuat kuasa 1 Januari 2026, sebagai sebahagian daripada pelan peralihan kepimpinan yang disusun syarikat itu.
Pelantikan itu dibuat selepas Datuk Mohamad Helmy Othman Basha meletakkan jawatan tersebut berkuat kuasa 31 Disember 2025.
Untuk memastikan peralihan kepimpinan berjalan lancar dan teratur, beliau akan terus berkhidmat sebagai Penasihat kepada Lembaga Pengarah selepas meletakkan jawatan.
Ketika ini, Mohd Haris, 53 adalah Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan SD Guthrie sejak September 2025.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, SD Guthrie berkata, beliau menyertai syarikat sejak 2014, sebelum syarikat itu dipecahkan daripada Sime Darby Bhd kepada tiga entiti berasingan.
Beliau mempunyai pengalaman hampir tiga dekad dalam perdagangan komoditi, pengurusan risiko serta operasi huluan dan hiliran minyak sawit.
Mohd Haris kini memegang jawatan sebagai Pengerusi Persatuan Penapis Minyak Sawit Malaysia, ahli Majlis Minyak Sawit Malaysia, serta anggota Lembaga Pemegang Amanah Malaysian Sustainable Palm Oil.
SD Guthrie berkata, pelantikan itu diharap memastikan kesinambungan kepimpinan dan strategi syarikat dalam memperkukuh kedudukannya sebagai antara pengeluar minyak sawit terbesar dunia. - DagangNews.com








