KUALA LUMPUR 26 Sept - SD Guthrie Bhd dijangka meraih keuntungan bersih pelupusan sekurang-kurangnya RM378 juta hasil penjualan 483.6 hektar (1,195 ekar) tanah pegangan bebas di Port Dickson, Negeri Sembilan, menurut MBSB Research.
Anggaran itu mengambil kira kos pelupusan sekitar 10% serta kadar cukai korporat 24%. Hasil daripada transaksi tersebut dijangka dapat meningkatkan nilai kepada pemegang saham sama ada melalui pembayaran dividen khas atau pelaburan semula ke dalam ladang brownfield baharu, kata firma penyelidikan itu.
Pelupusan tanah tersebut dimuktamadkan melalui Eco Business Park 7 Sdn Bhd (EBP7) – sebuah usaha sama melibatkan Eco World Development Group Bhd (55%), SDG Land Ventures Sdn Bhd (30%) dan Perbadanan Negeri Sembilan (15%).
Kerjasama itu mula dimeterai menerusi memorandum persefahaman pada 18 Disember 2024, diikuti perjanjian pemegang saham pada Mei 2025.
Perjanjian jual beli (SPA) yang ditandatangani pada 18 April 2025 telah diselesaikan dengan jumlah pertimbangan tunai sebanyak RM572.76 juta, bersamaan kira-kira RM11 sekaki persegi.
Walaupun harga ini 56% lebih rendah berbanding pelupusan tanah Gamuda baru-baru ini pada RM25 sekaki persegi, penganalisis berpendapat penilaian tersebut adalah munasabah kerana SDG masih mengekalkan penyertaan dalam projek berkenaan melalui pegangan 30% dalam EBP7.
EBP7 dijangka membangunkan sebuah taman perindustrian bersepadu di kawasan berkenaan dengan nilai pembangunan kasar (GDV) dianggarkan RM2.95 bilion.
Projek itu akan diuruskan oleh Eco World Project Management dan bakal menikmati akses strategik melalui Lebuhraya Nilai-Labu yang menghubungkan ke KLIA, Pelabuhan Klang, Nilai serta Lebuhraya PLUS.
“Lokasi utama serta rangkaian sambungan yang kukuh menjadikannya tarikan kepada penyewa industri dan komersial yang mahu mengembangkan perniagaan di luar Lembah Klang,” kata MBSB Research dalam notanya.
Meskipun berpotensi mencatat keuntungan pelupusan serta prospek pembangunan yang positif, MBSB Research mengekalkan penarafan neutral terhadap SD Guthrie kerana berpendapat faktor positif berkenaan sudah pun diambil kira dalam penilaian semasa saham syarikat. - DagangNews.com








