Scientex Packaging akan dinyahsenarai dari Bursa Malaysia pada 25 Mac 2026 susulan pengambilalihan persendirian | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Scientex Packaging akan dinyahsenarai dari Bursa Malaysia pada 25 Mac 2026 susulan pengambilalihan persendirian

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 18 Mac – Saham pengeluar plastik dan bahan pembungkusan, Scientex Packaging (Ayer Keroh) Bhd (SciPack) akan dinyahsenaraikan daripada senarai rasmi Bursa Malaysia Securities Bhd pada pukul 9 pagi, 25 Mac 2026.

 

Tindakan itu dibuat susulan rancangan pengambilalihan secara persendirian oleh kumpulan itu.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata penyahsenaraian itu adalah selaras dengan perenggan 16.07(b) Peraturan Penyenaraian Pasaran Utama.

 

Pada 27 Februari 2026, saham SciPack digantung daripada perdagangan apabila pemegang saham utamanya iaitu Scientex Bhd bersiap sedia untuk pengambilalihan secara persendirian.

 

Hari terakhir dagangan bagi saham SciPack adalah pada 26 Februari 2026.

 

Pemegang saham Scientex meluluskan rancangan untuk menswastakan syarikat itu pada 24 November 2025, yang melibatkan pengurangan modal secara terpilih dan tawaran RM1.50 sesaham.

 

Langkah penswastaan Scientex Packaging  menerusi cadangan pengurangan modal terpilih (SCR) itu merupakan sebahagian daripada strategi Scientex Berhad menyelaraskan operasi pembungkusan di bawah satu entiti.

 

Ia dijangka dapat meningkatkan kecekapan operasi, mengoptimumkan penggunaan sumber serta mengukuhkan pengawasan pengurusan bagi segmen pembungkusan kumpulan. - DagangNews.com