Scientex cadang pengurangan modal terpilih bagi penswastaan SciPack | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Scientex cadang pengurangan modal terpilih bagi penswastaan SciPack

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 12 Sept - Scientex Berhad berhasrat menswastakan anak syarikatnya, Scientex Packaging (Ayer Keroh) Bhd (SciPack) menerusi cadangan pengurangan modal terpilih (SCR).

 

Kumpulan itu menyerahkan surat tawaran kepada lembaga pengarah SciPack pada hari Jumaat, meminta syarikat tersebut melaksanakan SCR selaras dengan Seksyen 116 Akta Syarikat 2016.

 

Di bawah cadangan tersebut, semua pemegang saham SciPack selain daripada Scientex – yang tidak layak untuk menyertai – akan menerima wang tunai sebanyak RM1.50 bagi setiap saham biasa yang dipegang. Jumlah keseluruhan pembayaran tunai adalah sebanyak RM147.82 juta.

 

Pelaksanaan itu akan mengakibatkan pembatalan semua saham SciPack yang dipegang oleh pemegang saham yang layak.

 

Apabila selesai, Scientex akan memiliki 100% ekuiti SciPack, sekali gus menjadikannya anak syarikat milik penuh.

 

Kumpulan itu juga menyatakan, 550,100 saham perbendaharaan sedia ada yang dipegang SciPack akan dibatalkan selepas pelaksanaan tersebut. Tarikh kelayakan untuk SCR akan ditentukan dan diumumkan kemudian.

 

Scientex berkata cadangan SCR tersebut bagaimanapun tertakluk kepada beberapa syarat, termasuk kelulusan daripada pemegang saham berkepentingan yang tidak mempunyai konflik pada mesyuarat agung luar biasa (EGM) yang akan diadakan SciPack.

 

Untuk diluluskan, resolusi itu mesti disokong majoriti daripada bilangan pemegang saham berkepentingan di luar yang memegang sekurang-kurangnya 75% daripada nilai undi yang dibuang, manakala undi menentang tidak boleh melebihi 10% daripada jumlah saham mengundi yang dipegang oleh pemegang saham tersebut.

 

Selain itu, pelaksanaan itu juga memerlukan pengesahan daripada Mahkamah Tinggi di Malaya, diikuti pemfailan perintah mahkamah kepada Pendaftar Syarikat.

 

Cadangan itu juga perlu mendapatkan kelulusan, pengecualian atau persetujuan daripada pembiaya dan pemiutang SciPack sekiranya diperlukan, serta daripada pihak berkuasa kawal selia atau pihak berkaitan yang lain.

 

“Cadangan SCR ini antara lain memberikan peluang kepada pemegang saham yang layak untuk keluar dan merealisasikan pelaburan mereka dalam SciPack, menghapuskan kos pentadbiran dan pematuhan yang berkaitan dengan mengekalkan status penyenaraian SciPack, dan seterusnya membolehkan sumber dialihkan kepada usaha meningkatkan perniagaan teras SciPack dan anak-anak syarikatnya.

 

"Ia juga memberikan Scientex dan SciPack fleksibiliti serta kecekapan operasi yang lebih besar dalam mengurus dan membangunkan perniagaan sedia ada Kumpulan SciPack,” katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.

 

Pelaksanaan itu akan dibiayai melalui dana dalaman yang dijana dan/atau pinjaman bank oleh SciPack dan dijangka tidak memberi kesan material kepada kedudukan kewangan Scientex. - DagangNews.com