SC pilih enam syarikat sertai Regulatory Sandbox sulung | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

SC pilih enam syarikat sertai Regulatory Sandbox sulung

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 26 NovSuruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) memilih enam syarikat sebagai kohort sulung Regulatory Sandbox bagi menguji inovasi pasaran modal, dengan tempoh ujian sekitar 12 bulan bermula seawal Januari atau Julai 2026.

 

Pemilihan enam peserta itu dibuat selepas tempoh permohonan dibuka dari 15 April hingga 31 Mei 2025, yang menerima sambutan menggalakkan daripada pemain industri.

 

Regulatory Sandbox yang diperkenalkan sempena SCxSC Fintech Summit tahun lalu bertujuan membolehkan syarikat menguji produk dan perkhidmatan baharu dalam persekitaran terkawal dunia sebenar, selain membantu SC menambah baik rangka kerja kawal selia secara lebih dinamik.

 

Berdasarkan proses penilaian pelbagai peringkat, enam syarikat dipilih merentasi tiga teras utama, iaitu fasilitasi pelaburan hartanah alternatif, pemerkasaan kecairan pasaran sekunder dan pembiayaan alternatif.

 

Bagi segmen pelaburan hartanah alternatif, dua syarikat terpilih ialah Wahed X Sdn Bhd dan Urban NX Sdn Bhd. Sementara itu, bagi merancakkan pasaran sekunder, SC memilih Kapital DX Sdn Bhd dan Pitch Platforms Sdn Bhd. 

 

Dalam segmen pembiayaan alternatif pula, Virtual Economy Technology Sdn Bhd dan PeerHive (M) Sdn Bhd dipilih menyertai kohort tersebut.

 

SC berkata, kesemua peserta kohort dijangka menjadi perintis kepada pendekatan baharu dalam sektor masing-masing, dengan sebahagian daripadanya turut mengaplikasikan analitik data lanjutan serta teknologi rantaian blok (blockchain) untuk memperkukuh proses usaha wajar serta memperkenalkan model operasi baharu.

 

Setiap syarikat yang berjaya akan menjalani tempoh pengujian selama sekitar 12 bulan, bermula sama ada pada Januari atau Julai 2026, bergantung kepada tahap kesiapsiagaan masing-masing.

 

Pengerusi SC, Datuk Mohammad Faiz Azmi berkata, Regulatory Sandbox disasarkan sebagai pemangkin kepada inovasi yang menyokong integriti pasaran.

 

“Inisiatif ini mencerminkan komitmen syarikat untuk mewujudkan persekitaran di mana inovasi boleh berkembang tanpa menjejaskan perlindungan pelabur. Dengan menggalakkan eksperimen dalam rangka kerja terkawal, SC berhasrat memupuk idea berpandangan jauh yang mampu memperkukuh kecekapan pasaran,” katanya.

 

SC turut menggalakkan lebih banyak syarikat yang mempunyai model perniagaan inovatif untuk terus berinteraksi melalui Alliance of FinTech Community (aFINity), di mana cadangan boleh dikemukakan secara langsung kepada pengawal selia. - DagangNews.com