KUALA LUMPUR 4 Ogos – Integriti kawal selia kekal sebagai tunjang utama misi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dalam memastikan pasaran yang adil, teratur dan telus, di samping melindungi pelabur daripada penipuan serta kegiatan jenayah, kata Pengerusi SC, Datuk Mohammad Faiz Azmi.
Dalam ucaptama beliau semasa Sidang Kemuncak Pemimpin Pelajar Malaysia XIX (MSLS XIX), Mohammad Faiz berkata SC melaksanakan tanggungjawab ini melalui tiga pendekatan utama, bermula dengan disiplin kendiri dalam industri.
Menurut beliau, syarikat akhirnya dikendalikan oleh individu, dan individu juga yang berpotensi melakukan jenayah atau tingkah laku tidak jujur.
“Oleh itu, adalah penting bagi mereka yang beroperasi dalam pasaran modal supaya menjunjung nilai dan moral yang selaras dengan piawaian yang boleh diterima,” katanya.
Bagi menggalakkan tingkah laku tersebut, SC mengeluarkan garis panduan yang jelas, mengukuhkan amalan etika menerusi Kod Tadbir Urus Korporat Malaysia serta mengambil tindakan undang-undang terhadap salah laku serius seperti dagangan orang dalam dan manipulasi pasaran.
Disiplin Pasaran dan Pengawasan Komuniti
Tambah beliau, pendekatan kedua adalah melalui Disiplin Pasaran, di mana SC mengharapkan pemain industri agar menegur tingkah laku buruk, keputusan lemah dan pencapaian yang tidak memuaskan.
“Kita memastikan ekosistem pemantauan yang berfungsi wujud, termasuk badan seperti Majlis Pelabur Institusi Malaysia (IIC), Institut Pengarah Korporat Malaysia (ICDM), Badan Pengawas Pemegang Saham Minoriti (MSWG) dan juga media bebas,” katanya.
Jelas beliau, meskipun kebodohan bukan jenayah, namun seorang peneraju syarikat yang buat kerja ‘cincai’ sehingga mendatangkan kerugian tetap perlu ditegur.
Disiplin Kawal Selia – Kuasa Penguatkuasaan SC
Pendekatan ketiga, menurut beliau, ialah Disiplin Kawal Selia, yang mencerminkan kuasa penguatkuasaan teras SC.
SC adalah pengawal selia utama pasaran modal negara, yang bernilai RM4.1 trilion pada tahun 2024 – lebih tinggi berbanding RM3.6 trilion dalam aset perbankan – sekali gus menunjukkan betapa pentingnya pasaran modal kepada ekonomi negara.
Beliau menegaskan SC memberi tumpuan kepada pelanggaran besar dengan kuasa undang-undang untuk mendakwa, mengenakan denda dan hukuman penjara, manakala badan seperti Bursa Malaysia dan Persekutuan Pengurus Pelaburan Malaysia (FIMM) mengendalikan kesalahan yang kurang serius.
Dalam pada itu, beliau turut menepis tanggapan umum bahawa setiap kegagalan syarikat atau kerugian pasti berpunca daripada salah laku.
“Syarikat boleh gulung tikar kerana gangguan pasaran atau keputusan strategik yang lemah. Ini bukan jenayah, tetapi sebahagian daripada risiko dalam ekonomi kompetitif,” ujarnya.
Beliau turut menjelaskan bahawa SC tidak campur tangan dalam hal bukan jenayah atau menjamin kejayaan perniagaan, selagi syarikat beroperasi dalam lingkungan undang-undang.
Keyakinan Pelabur Asing dan Amanah Pasaran
Prinsip ini, katanya, sangat penting khususnya apabila melibatkan pelabur asing yang mengharapkan layanan yang adil dan konsisten, serta yakin terhadap pematuhan Malaysia kepada prinsip kedaulatan undang-undang.
“Mereka mahu tahu bahawa sebarang pertikaian akan diselesaikan secara adil, dan kuasa penguatkuasaan tidak disalah guna,” katanya lagi.
Tambah beliau, satu lagi aspek penting integriti kawal selia ialah pembinaan kepercayaan, kerana pertumbuhan dan kemakmuran pasaran bergantung kepada keyakinan bahawa pengawal selia bertindak secara adil, melindungi pelabur dan menyokong pembangunan pasaran tanpa menyekat inovasi.
“Tidak semua yang kita galakkan dalam 30 tahun ini berjaya. Bidang seperti aset digital dan kredit karbon masih belum menjadi arus perdana,” jelas beliau.
Namun begitu, mandat kedua SC dalam pembangunan pasaran adalah untuk memberikan jaminan bahawa SC turut mempunyai kepentingan dalam memacu pertumbuhan pasaran modal negara.
Beliau menegaskan dalam usaha mencipta nilai, menyokong pertumbuhan dan mengharungi cabaran masa depan, Malaysia memerlukan pengawal selia yang berintegriti serta berpandangan jauh. - DagangNews.com








