"Saya mempunyai keyakinan penuh proses perundangan dan penguatkuasaan negara" - Pengerusi IJM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

"Saya mempunyai keyakinan penuh proses perundangan dan penguatkuasaan negara" - Pengerusi IJM

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 9 Feb — Pengerusi IJM Corporation Bhd. Tan Sri Krishnan Tan, yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Khamis lalu berkata beliau mempunyai keyakinan penuh terhadap proses perundangan dan penguatkuasaan negara.

 

Dalam satu kenyataan pada Ahad, beliau memaklumkan bahawa dirinya tidak terlibat dalam operasi serta pengurusan harian kumpulan berkenaan.

 

“Saya telah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa dan akan terus berbuat demikian. 

 

 

 

 

 

"Namun, pada ketika ini adalah tidak sesuai untuk saya mengulas lanjut kerana siasatan masih berjalan,” katanya.

 

Krishnan Tan ditahan SPRM bagi membantu siasatan berkaitan dakwaan isu tadbir urus korporat, proses perolehan, urus niaga kewangan serta pemilikan aset luar negara yang dianggarkan bernilai kira-kira RM2.5 bilion.

 

Beliau dibebaskan pada hari sama selepas membantu SPRM dalam siasatan.

 

Sementara itu IJM dalam kenyataan berasingan menegaskan kumpulan itu mempunyai prosedur dalaman yang mencukupi serta rangka kerja tadbir urus yang kukuh, termasuk pelaksanaan Sistem Pengurusan Anti-Rasuah yang diperakui di bawah piawaian ISO 37001:2025.

 

“Langkah-langkah sewajarnya telah diambil bagi memastikan perniagaan kumpulan dijalankan dengan integriti dan bebas daripada rasuah,” menurut kenyataan itu.

 

IJM turut memberi jaminan lembaga pengarah dan pasukan pengurusan kekal memberi tumpuan kepada kesinambungan perniagaan, di samping mengekalkan keyakinan pelanggan serta rakan niaga, serta menegakkan piawaian tadbir urus korporat dan pematuhan yang kukuh.

 

Bagaimanapun, memandangkan siasatan masih dijalankan, syarikat memaklumkan ia tidak akan mengeluarkan sebarang komen lanjut buat masa ini dan hanya akan memberikan kemas kini apabila sesuai serta selaras dengan keperluan undang-undang dan peraturan.

 

IJM turut menegaskan kumpulan itu memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa, termasuk bertindak balas dengan segera terhadap semua permintaan serta menyediakan maklumat dan kakitangan berkaitan bagi memudahkan siasatan.

 

 

 

 

 

 

Sebelum ini, SPRM mendedahkan bahawa pihaknya sedang menyiasat dakwaan pengubahan wang haram yang melibatkan IJM, namun kumpulan tersebut telah menafikan dakwaan berkenaan dan menyifatkannya sebagai tidak berasas.

 

Pada Januari lalu, pegawai SPRM bersama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) telah mengunjungi pejabat IJM bagi mendapatkan dokumen berkaitan siasatan. - DagangNews.com