KUALA LUMPUR 20 Julai – Persatuan Akauntan Profesional Antarabangsa (AICPA & CIMA) melantik Saritha Subramaniam sebagai Pengarah Asia Tenggara dan Australasia bagi memperkukuhkan strategi pertumbuhan serta penglibatan organisasi itu di rantau berkenaan.
Berpangkalan di Kuala Lumpur, Saritha akan menerajui usaha AICPA & CIMA dalam membangunkan hubungan dengan majikan, pihak kerajaan, badan kawal selia, ahli profesional serta pelajar bidang perakaunan dan kewangan di pasaran utama termasuk Malaysia, Singapura, Indonesia, Australia dan New Zealand.
Pelantikan itu dibuat ketika permintaan terhadap profesional kewangan yang mempunyai kemahiran masa depan semakin meningkat, sejajar dengan perkembangan ekonomi digital ASEAN, peningkatan perdagangan rentas sempadan serta perubahan teknologi yang mempengaruhi industri perakaunan dan kewangan.
Saritha membawa pengalaman lebih 19 tahun dalam bidang pendidikan profesional dan kepimpinan komersial.
Beliau menyertai CIMA pada 2007 dan sepanjang tempoh itu telah bekerjasama dengan pelbagai pihak termasuk kerajaan, badan profesional, institusi pengajian tinggi serta organisasi korporat bagi membangunkan bakat kewangan di rantau ini.
Antara pencapaian penting Saritha di Malaysia adalah menerusi kerjasama jangka panjang AICPA & CIMA bersama Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) dalam memperkukuhkan kepimpinan kewangan sektor awam.
Kerjasama tersebut menerima pengiktirafan menerusi anugerah UK–Malaysia Partnership of the Year pada British Malaysian Chamber of Commerce (BMCC) Business Excellence Awards 2025.
Selain itu, beliau turut memainkan peranan dalam beberapa inisiatif pembangunan profesional serantau termasuk ENGAGE Asia, persidangan ENGAGE pertama anjuran AICPA & CIMA di Asia, serta CGMA Leadership Academy yang memberi tumpuan kepada pembangunan pemimpin kewangan masa depan.
Naib Presiden Serantau Asia Pasifik AICPA & CIMA, Venkkat Ramanan berkata pengalaman serta pemahaman Saritha terhadap pasaran serantau akan membantu organisasi itu meningkatkan nilai yang ditawarkan kepada ahli, pelajar dan rakan strategiknya.
“Permintaan terhadap profesional kewangan yang dipercayai dan bersedia menghadapi perubahan masa depan semakin meningkat di Asia Tenggara dan Australasia. Saritha mempunyai pengalaman serantau serta perspektif global yang diperlukan untuk memperkukuhkan peranan kami di rantau ini,” katanya.
Dalam pada itu, Saritha berkata keutamaan beliau dalam peranan baharu tersebut adalah memperkasakan ahli dan profesional kewangan di seluruh Asia Tenggara dan Australasia dengan kemahiran serta keupayaan yang diperlukan untuk berkembang dalam persekitaran perniagaan dipacu kecerdasan buatan (AI).
Beliau berkata, usaha itu akan dilaksanakan menerusi kerjasama rapat bersama majikan, kerajaan dan badan kawal selia bagi memperkukuhkan kumpulan bakat kewangan serta mewujudkan nilai berterusan kepada individu, organis dan ekonomi lebih luas. - DagangNews.com








