Sarawak Oil Palms beli 70% ekuiti Kina-Juara berharga RM39 juta, tambah 1,622 hektar ladang sawit | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sarawak Oil Palms beli 70% ekuiti Kina-Juara berharga RM39 juta, tambah 1,622 hektar ladang sawit

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 28 MeiSarawak Oil Palms Berhad mengukuh kedudukan dalam sektor perladangan apabila mengambil alih 70% kepentingan Kina-Juara Sdn Bhd (KJSB) menerusi urus niaga bernilai RM39 juta.

 

Kumpulan tersebut berkata, pengambilalihan daripada Lee Foundation dan Lee Rubber (Selangor) Sdn Bhd itu dimuktamadkan menerusi perjanjian jual beli saham yang dimeterai rasmi pada 26 Mei 2026.


Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, ia menambah, KJSB selama ini terlibat aktif dalam aktiviti perladangan kelapa sawit di Sarawak dengan keluasan tanamannya meliputi sekitar 1,622 hektar.


"Langkah berkenaan selaras dengan strategi Sarawak Oil Palms untuk terus mengembangkan perniagaan penanaman kelapa sawit secara strategik di seluruh negeri tersebut sendiri," jelas kumpulan itu.


Usaha pembelian tersebut ujarnya, dilaksanakan berdasarkan kepada persetujuan secara rela hati antara pembeli dan penjual terlibat selepas diambil kira nilai aset bersih serta pendapatan KJSB.


Baki 30% pegangan dalam KJSB dimiliki oleh LCDA Holdings Sdn Bhd, manakala keseluruhan pembelian dibiayai menggunakan dana dalaman dan sudah lengkap sepenuhnya setakat tarikh pengumuman dibuat.


Bagaimanapun, Sarawak Oil Palms menjelaskan pengambilalihan itu tidak dijangka memberi kesan material terhadap modal saham, aset bersih, nisbah gear atau pendapatan sesaham kumpulan tersebut.


"Di samping itu, kumpulan turut memaklumkan tiada kepentingan langsung atau tidak langsung yang melibatkan pengarah, pemegang saham utama atau pihak berkaitan dalam urus niaga ini," katanya.


Lembaga pengarah berpandangan pengambilalihan itu adalah demi kepentingan terbaik kumpulan selepas menilai rasional strategik dan potensi manfaat jangka panjang kepada operasi. - DagangNews.com