Sarawak muktamadkan pengambilalihan MASwings menjelang 31 Disember 2025, DUN diberitahu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sarawak muktamadkan pengambilalihan MASwings menjelang 31 Disember 2025, DUN diberitahu

KUALA LUMPUR 21 Mei — Sarawak berada di landasan tepat bagi memuktamadkan pengambilalihan penuh MASwings Sdn Bhd menjelang 31 Disember 2025, dan menandakan peristiwa penting dalam usaha negeri itu mengukuhkan sambungan udara melalui syarikat penerbangannya, AirBorneo.


Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Dr Jerip Susil berkata, kedua-dua pihak ketika ini berusaha memenuhi syarat-syarat yang perlu setelah pemeteraian perjanjian jual beli antara AirBorneo Holdings Sdn Bhd dan Malaysia Aviation Group Bhd (MAG) pada 12 Februari 2025. 

 

 


Ini katanya, termasuk kelulusan kawal selia badan berwajib seperti Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom), Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO), dan Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).


“Proses itu juga melibatkan pemindahan aset operasi daripada MAG kepada AirBorneo serta segala persediaan untuk peralihan operasi yang lancar,” kata beliau ketika sesi soal jawab pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kuching, hari ini.

 

 


Jerip menjawab soalan Datuk Seri Wong Soon Koh (Gabungan Parti Sarawak-Bawang Assan) yang ingin tahu sama ada proses pengambilalihan pembelian ke atas MASwings telah selesai dan adakah pertukaran pemilikan akan mengganggu operasi perkhidmatan udara luar bandar (RAS).

 

Artikel berkaitan: Sarawak lancarkan AirBorneo sejurus selesai pembelian ke atas MASwings

 

maswings

 

Mengulas lanjut, Jerip berkata, walaupun terdapat perubahan dalam pemilikan, rangkaian RAS yang menyediakan perkhidmatan bagi kawasan terpencil serta kurang liputan di Sarawak dan Sabah, dijangka masih lagi mengekalkan jadual, kekerapan selain liputan semasa.


“Seluruh tenaga kerja MASwings akan dikekalkan, malah pengalaman mereka dijangka memainkan peranan penting dalam mengekalkan aspek kestabilan operasi serta kesinambungan perkhidmatan semasa dan selepas peralihan tersebut,” katanya.


Menjawab soalan tambahan Wong, Jerip berkata perjanjian RAS secara interim semasa antara kerajaan Persekutuan dan MASwings yang ditandatangani pada 19 Disember 2024 juga akan kekal berkuat kuasa sehingga tamat pada 31 Disember tahun ini.


Sementara itu, Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Seri Lee Kim Shin berkata negeri itu, bersama AirBorneo, sedang berhubung dengan Kementerian Pengangkutan Persekutuan, dan pihak berkepentingan utama lain bagi menyelesaikan terma serta syarat perjanjian RAS baharu.


Beliau berkata, usaha tersebut bagi memastikan sambungan udara yang berterusan serta tidak terganggu kepada masyarakat luar bandar dan terpencil di seluruh Sarawak dan Sabah.


“Perjanjian baharu ini termasuk kerajaan persekutuan terus memberi subsidi kepada RAS kerana akan ada terma dan syarat baharu dengan AirBorneo,” katanya ketika ditemui pemberita di luar persidangan DUN. - DagangNews.com