Di sebalik pelaksanaan Program Sumbangan Asas Rahmah (SARA), tersingkap kisah manis buat peniaga kecil di luar bandar yang kini menikmati limpahan rezeki hasil dasar prihatin kerajaan terhadap rakyat.
Di kawasan Bukit Bunga, Jeli, Kelantan, sebuah kedai runcit berusia 24 tahun kini kembali meriah hasil limpahan manfaat daripada pelaksanaan program SARA.
Pengurus Kedai Runcit Haron Yahya Chedok, Nurul Adni Haron berkata, program itu bukan sekadar bantuan kerajaan untuk rakyat yang memerlukan, sebaliknya SARA turut memberi sinar rezeki kepada peniaga kecil sepertinya.
“Alhamdulillah, sejak menjadi peruncit SARA, jualan kedai milik keluarga saya meningkat dengan mendadak. Pada bulan September sahaja, jualan kami mencecah RM100,000 dan 60 peratus daripadanya datang daripada pelanggan SARA,” katanya kepada DagangNews.com baru-baru ini.
Katanya, peningkatan jualan itu sangat mengujakan dan menyuburkan lagi semangatnya untuk terus mengusahakan perniagaan keluarga yang dibangunkan oleh ibu bapanya sejak 24 tahun lalu.

“Saya membuat permohonan untuk menjadi peruncit SARA dengan Kementerian Kewangan pada bulan Mac, dan syukur sangat apabila diluluskan pada April.
“Ketika menerima khabar gembira itu, saya rasa seperti tidak percaya kerana ia satu bentuk pengiktirafan kepada pekedai runcit di kampung yang dilantik oleh Kementerian Kewangan untuk melaksanakan amanah ini,” katanya.
Sejak itu, pelanggan dari kawasan sekitar termasuk warga emas dan penduduk pedalaman tidak lagi perlu ke pekan yang jauh untuk menebus bantuan keperluan asas tersebut.
“Ramai pelanggan datang membeli barang dapur di sini, ada yang sanggup datang sejauh 40 kilometer dari kawasan sekitar Gunung Reng.
“Kadang-kadang rasa sebak melihat warga emas datang dengan motosikal buruk, tetapi apabila mereka tersenyum selepas membeli beras, minyak dan gula menggunakan SARA, saya rasa lega kerana dapat membantu mereka mendapatkan keperluan tanpa perlu ke lokasi yang lebih jauh,” katanya.
Bagi Nurul Adni, SARA bukan sekadar program bantuan, tetapi talian hayat ekonomi kampung yang menghidupkan semula perniagaan kecil serta memberi kelegaan kepada rakyat biasa.
“Terima kasih kepada kerajaan, program SARA ini benar-benar membawa makna besar buat kami peniaga kecil.
“Kami rasa dihargai dan diberi peluang untuk sama-sama menyumbang kepada ekonomi rakyat.
“Setiap sen yang dibelanjakan pelanggan SARA bukan sekadar transaksi perniagaan, tetapi tanda kasih dan perhatian kerajaan terhadap rakyat di ceruk kampung,” katanya.
Daerah Jeli mempunyai kira-kira 80,000 penduduk dengan 70 peratus daripadanya bekerja sendiri dalam bidang perniagaan, pertanian dan tanaman getah, manakala sebahagian kecil yang lain bekerja sebagai penjawat awam.
Bukit Bunga terletak kira-kira 75 kilometer dari Kota Bharu, ibu negeri Kelantan, dan 26 kilometer dari pekan Tanah Merah yang mempunyai pelbagai kemudahan.

Bagi Faridah Hashim, 52, pemilik rangkaian Kedai Runcit Faridah Idaman, program SARA bukan sekadar bantuan kerajaan untuk rakyat, tetapi memberi nafas baharu yang menghidupkan kembali perniagaan kampung.
“Risiko perniagaan runcit ialah bagaimana memastikan pusingan modal berjalan lancar.
“Alhamdulillah, melalui SARA, Kementerian Kewangan membuat bayaran setiap tiga hari sekali. Tak sempat risau pun, duit dah masuk. Memang lega,” katanya sambil tersenyum puas.
Faridah menyertai program SARA pada Julai lalu dan terus mendaftarkan tiga cawangan kedainya, iaitu di Bukit Bunga (beroperasi sejak 2014), Kampung Gemang (2018) dan Batang Merbau (2022).
Sejak menyertai SARA, jualan purata bulanan bagi tiga cawangannya melonjak hampir RM1.8 juta, dengan separuh daripadanya disumbangkan oleh pelanggan SARA.
“Alhamdulillah, memang nampak kesannya. Orang kampung senang hati sebab tak payah ke pekan, kami peniaga pun dapat berniaga tanpa kebimbangan masalah modal pusingan.
“Saya memang nampak kerajaan kali ini betul-betul serius nak bantu kami, peniaga kedai runcit,” katanya.
Faridah turut berusaha mencipta suasana ceria untuk pelanggannya. Setiap pembelian bernilai RM100 menggunakan SARA melayakkan pelanggan menyertai cabutan bertuah bulanan yang menawarkan hadiah barangan elektrik dan hamper.
“Saya peruntukkan RM3,000 sebulan untuk program cabutan bertuah. Saya bukan nak kejar untung semata-mata, tapi nak buat orang kampung rasa dihargai. Kalau mereka setia beli di sini, itu tanda mereka percaya — dan saya kena hargai kepercayaan itu,” ujarnya.
Bagi Faridah, SARA bukan sekadar skim bantuan, tetapi simbol keprihatinan yang mengubah realiti hidup peniaga kecil.
“Terima kasih kepada kerajaan, terutamanya Kementerian Kewangan. Bayaran cepat, urusan mudah, peniaga lega dan rakyat gembira.
“Ini satu program yang sangat bermakna kerana manfaatnya benar-benar sampai kepada golongan sasar seperti kami,” kata ibu kepada enam anak itu.

8.8 juta rakyat nikmati Fasa 4 STR
Mengukuhkan lagi komitmen kerajaan dalam membantu rakyat, Kementerian Kewangan memaklumkan bahawa seramai 8.8 juta penerima akan menerima bayaran Fasa 4 Sumbangan Tunai Rahmah (STR) 2025 bermula 18 Oktober 2025, iaitu lebih awal daripada jadual asal pada pertengahan November sebelum sambutan Deepavali.
Bagi fasa ini, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM2 bilion, dengan kadar bayaran sehingga RM700 mengikut kategori, termasuk 200,000 pemohon baharu yang diluluskan bagi Fasa 4 dan akan menerima bayaran mulai 13 November 2025.
Berbanding Fasa 1 pada Januari lalu, jumlah penerima meningkat sebanyak 500,000 individu dan isi rumah, daripada 8.3 juta kepada 8.8 juta, susulan keputusan Kerajaan MADANI untuk membuka permohonan baharu dan rayuan sepanjang tahun.
“Tekad Kerajaan MADANI adalah untuk memastikan bantuan yang melibatkan agihan limpahan negara ini dapat dimanfaatkan oleh segenap lapisan rakyat Malaysia. Diharapkan penyaluran Fasa 4 STR 2025 ini sedikit sebanyak dapat memberi kelegaan kewangan menjelang sambutan Deepavali,” kata Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menerusi kenyataan media Kementerian Kewangan di Putrajaya pada 17 Oktober lalu.
Langkah ini juga sejajar dengan usaha kerajaan menaikkan lantai ekonomi rakyat di bawah Kerangka Ekonomi MADANI, yang menumpukan kepada peningkatan pendapatan isi rumah, pengurangan jurang ketidaksamaan serta memperkukuh jaringan keselamatan sosial bagi kumpulan berpendapatan rendah.
Kerajaan MADANI turut mengumumkan bahawa pendaftaran STR dan SARA 2026 akan dibuka sepanjang tahun, agar lebih ramai rakyat berpeluang mendapat manfaat bantuan kerajaan.
Seperti diumumkan ketika pembentangan Belanjawan MADANI Keempat pada 10 Oktober 2025, peruntukan keseluruhan STR dan SARA bagi tahun 2026 mencecah RM15 bilion.
Bagi penerima sedia ada, data mereka akan dibawa secara automatik ke dalam pangkalan data kerajaan bersama maklumat daripada agensi-agensi berkaitan untuk semakan kelayakan STR dan SARA 2026 mengikut syarat yang ditetapkan — sekali gus mengurangkan risiko keciciran dan memastikan bantuan terus sampai kepada golongan sasar.
Pemohon STR boleh merujuk soalan lazim (FAQ) dan semakan status bayaran melalui portal rasmi di https://bantuantunai.hasil.gov.my. - DagangNews.com








