Sampai Bila Kita Perlu Menulis Cek untuk Zombie Korporat? | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sampai Bila Kita Perlu Menulis Cek untuk Zombie Korporat?

Oleh WAN MOHD FARID WAN ZAKARIA

Sebuah syarikat gergasi, dalam industri strategik, dan sebuah kerajaan yang tidak teragak-agak menulis cek untuk menyelamatkannya—ini bukan adegan dalam The Big Short atau Too Big to Fail, tetapi realiti yang melibatkan Sapura Energy Berhad (SEB).

 

Bagi mereka yang mengikuti saga korporat Malaysia, episod terbaru ini tidak mengejutkan. Duit RM1.1 bilion lagi disuntik ke dalam Sapura melalui Malaysia Development Holding Sdn Bhd (MDH), entiti di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc).

 

Lebih mengejutkan, suntikan dana ini tidak disebut sebagai “bailout”, tetapi “pelaburan strategik” – satu lagi istilah fleksibel yang membolehkan suntikan dana awam terus dilakukan ke dalam syarikat bermasalah tanpa pertanggungjawaban sebenar.

 

 

Tapi, sampai bila?

 

ARTIKEL BERKAITAN: Sapura Energy dapat `bantuan talian hayat' RM1.1 bilion daripada kerajaan

 

Babak Sama, Skrip Sama: Sejarah Panjang Bailout

Sapura bukanlah syarikat biasa yang tersilap langkah sekali dua. Ia pernah berada di barisan hadapan industri minyak dan gas, mengendalikan kontrak bernilai tinggi dan memanfaatkan ekosistem industri yang luas.

 

Tetapi kebergantungan kepada harga minyak sebagai satu-satunya faktor keuntungan menjadikannya terdedah kepada risiko pasaran global.

 

Dan apabila keadaan pasaran tidak memihak kepadanya, ia kembali mencari bantuan, yang pasti kerajaan sentiasa sedia menghulurkan cek.

 

Sejarah “Sumbangan Tunai Rahmah” cukup jelas:

 

2014 – Keuntungan RM1 bilion, bukan kerana strategi atau kecekapan, tetapi kerana harga minyak dunia melonjak.

2019 – Hutang meningkat kepada RM10.3 bilion, tanda jelas bahawa model kewangannya tidak mampan.

2022 – Moratorium hutang diberikan dengan jaminan bahawa ini adalah peluang terakhir untuk pemulihan.

2025 – RM1.1 bilion lagi disuntik, sekali lagi dengan janji bahawa ini adalah langkah terakhir.

 

Sejak 2018, kerajaan telah menyuntik lebih RM3.78 bilion ke dalam Sapura. PNB melabur RM2.68 bilion, tetapi syarikat ini tetap gagal. Terbaru, RM1.1 bilion lagi diberikan melalui MDH kononnya untuk membantu vendor tempatan.

 

Malaysia Airlines juga mengalami suntikan modal berulang, termasuk RM6 bilion pada 2014, tetapi sekurang-kurangnya pernah menjadi syarikat penerbangan nasional yang kompetitif. Sapura pula terus gagal bersaing dan bergantung kepada projek kerajaan.

 

Syarikat ini menyokong 2,300 vendor tempatan dengan kontrak bernilai RM7.3 bilion dalam lima tahun terakhir, tetapi adakah ini cukup untuk menganggapnya “terlalu strategik untuk gagal”?

 

Jika pelan pemulihan sebelum ini benar-benar berkesan, mengapa kita masih di sini lagi?

 

Kapitalisme Schrödinger: Hidup dan Mati Bergantung kepada Dana Awam

Dalam ekonomi pasaran bebas, syarikat yang gagal akan ditinggalkan dan pemain lebih cekap akan mengambil alih. Tetapi Sapura bukan syarikat biasa, ia adalah Schrödinger’s Corporation.

 

Ia boleh dianggap muflis dan tidak muflis pada masa yang sama, bergantung kepada keputusan kerajaan.

 

Jika syarikat ini masih bernilai, di mana pelabur swasta?

 

Jika ia benar-benar mempunyai prospek yang baik, mengapa KWSP dan PNB tidak menambah pegangan mereka?

 

Dan jika benar suntikan ini untuk menyelamatkan vendor bumiputera, mengapa dana ini tidak terus disalurkan kepada vendor tanpa perlu melalui Sapura?

 

Syarikat yang Tidak Boleh Rugi, Tetapi Tidak Juga Mampu Membuat Keuntungan

Pelaburan sepatutnya berdasarkan keuntungan, pengurusan hutang, dan daya saing. Tetapi dalam kes Sapura, kegagalan dijenamakan semula.

 

Bila hutang meningkat, ia dianggap “cabaran yang boleh ditangani.” Bila tiada keuntungan, ia sekadar “fasa pemulihan yang memerlukan sokongan.” Bila pelabur swasta menjauh, kerajaan melihatnya sebagai “peluang pelaburan.”

 

Jika kegagalan terus diberi ganjaran dengan dana awam, apa insentif untuk syarikat lain bersaing secara adil?

 

Apa jaminan syarikat lebih kecil mendapat peluang sama jika mereka terancam? Jika syarikat besar terus diselamatkan, di mana sempadan antara kapitalisme dan subsidi terselindung?

 

Apa Alternatif Selain Bailout?

Jika bailout ini satu kesilapan, apakah pilihan lain yang lebih baik?

 

  1. Membiarkan Sapura Jatuh Seperti Lehman Brothers

Jika Sapura tidak mampu bertahan tanpa bantuan kerajaan, ia seharusnya dibiarkan muflis dan asetnya dibahagikan kepada pemain industri lain yang lebih kompeten. Ini pernah berlaku dalam krisis kewangan 2008, di mana Lehman Brothers dibiarkan jatuh, dan pasaran bebas membetulkan dirinya sendiri.

 

  1. Model General Motors – Bailout dengan Syarat Ketat

Jika kerajaan mahu campur tangan, bailout mesti bersyarat. Contohnya, General Motors hanya menerima bantuan kewangan selepas kerajaan AS memaksa perubahan drastik dalam pengurusan dan strategi perniagaan mereka. Sapura perlu menunjukkan rancangan pemulihan yang konkrit, bukan sekadar “pemulihan” yang berulang tanpa hasil nyata.

 

  1. Mencari Pelabur Luar Seperti Proton & Geely

Proton hanya benar-benar pulih selepas dijual kepada Geely, yang membawa masuk kepakaran dan modal untuk mengubah hala tuju syarikat itu. Jika Sapura benar-benar mempunyai nilai, mengapa tiada syarikat asing yang berminat mengambil alih? Jika pelabur luar tidak berminat, bukankah ini petanda bahawa Sapura sebenarnya tidak lagi relevan dalam pasaran global?

 

  1. Menggunakan Dana Terus kepada Vendor dan Pekerja

Jika alasan utama bailout Sapura adalah untuk menyelamatkan vendor Bumiputera dan tenaga kerja, mengapa tidak salurkan terus dana ini kepada mereka tanpa melalui Sapura? Ini boleh dilakukan melalui subsidi latihan, geran penyelidikan, atau skim insentif khusus untuk syarikat berkaitan minyak dan gas.

 

Sampai Bila Kita Akan Menulis Cek Ini?

RM1.1 bilion ini bukan sekadar angka dalam laporan kerajaan. Ia adalah bukti bahawa di Malaysia, kegagalan bukan sesuatu yang perlu diperbaiki – tetapi sesuatu yang akan terus dibiayai.

 

Keuntungan akan terus diswastakan, kerugian akan dinasionalisasikan. Pasaran bebas hanya untuk yang kecil, sementara yang besar sentiasa ada jalan keluar. “Pelaburan strategik” menjadi tiket emas bagi memastikan dana awam mengalir tanpa soal.

 

Tiada siapa percaya ini yang terakhir. Kita hanya menunggu episod baharu “Sapura: The Never-Ending Bailout” dengan skrip sama, jumlah lebih besar, dan janji basi bahawa ini benar-benar kali terakhir.

 

Jadi, sampai bila kita akan terus menulis cek ini? Atau adakah kita kini menganggapnya sebagai Sumbangan Tunai Rahmah versi korporat – diberi kepada syarikat yang terlalu besar untuk belajar dari kesilapan? - DagangNews.com

 

 

Artikel ini adalah pandangan peribadi Wan Mohd Farid Wan Zakaria, Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan & Perniagaan UiTM dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Sidang Editorial DagangNews.