KUALA LUMPUR 16 Mac – Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta) menggesa agar kerajaan menghentikan amalan mengisytiharkan cuti umum tambahan secara mengejut atau ad-hoc.
Presidennya, William Ng berkata, tindakan sedemikian boleh memberi tekanan kos kewangan yang lebih kepada sektor perniagaan, khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan.
Walaupun pihaknya memahami niat kerajaan untuk menghargai usaha rakyat sepanjang bulan Ramadan, pengumuman cuti berkenaan pada saat-saat akhir bukanlah amalan ekonomi yang sihat dilakukan.
"Trend cuti tambahan diumum secara mengejut dalam tempoh singkat sama ada di peringkat kebangsaan atau negeri memberi kesan operasi perniagaan yang memerlukan perancangan awal," kata beliau.
Jelas Ng, perniagaan dibina atas keupayaan untuk merancang, dan bagi operator PMKS, setiap hari bekerja itu perlu dijadualkan dengan amat teliti supaya tidak menjejaskan pendapatan mereka.
Bagaimanapun, apabila cuti diumumkan secara tiba-tiba, pengilang atau peniaga mungkin berdepan penalti kontrak dan perlu membayar gaji sehingga tiga kali ganda bagi memenuhi komitmen sedia ada.
Tambahnya, sektor perkhidmatan, peruncitan serta makanan dan minuman antara yang terjejas kerana stok barangan mudah rosak dan jadual penghantaran boleh terganggu akibat perubahan saat akhir.
"Saya berpandangan, dapatan kajian oleh Kesatuan Eropah (EU) sendiri menunjukkan produktiviti ekonomi optimum dicapai apabila sesebuah negara ada sekitar 10 hari cuti umum setahun," jelas Ng.
Kajian meliputi 101 negara itu mendapati jumlah cuti melebihi tahap tersebut boleh menjejaskan prestasi ekonomi kerana kos gangguan operasi dan peningkatan perbelanjaan perniagaan domestik.
Menurutnya, Malaysia sudah pun antara negara yang mempunyai bilangan cuti umum tertinggi di rantau ASEAN, dan penambahan cuti tidak dirancang boleh memberi kesan negatif kepada daya saing ekonomi.
Sehubungan itu, Samenta tambah Ng, menggesa kerajaan agar dapat menyemak semula serta meminda Akta Hari Kelepasan 1951 bagi mengehadkan kuasa mengisytiharkan cuti tambahan secara ad-hoc ketika ini.
"Kami mencadangkan Seksyen 8 akta ini dipinda bagi mengehadkan pengisytiharan cuti hanya situasi kecemasan negara atau peristiwa penting seperti ada pertabalan Yang di-Pertuan Agong," katanya.
Selain itu, Samenta mencadangkan sebarang cuti tambahan bukan kecemasan dimaklumkan sekurang-kurangnya enam bulan lebih awal bagi membolehkan perniagaan menyesuaikan perancangan tenaga kerja.
PMKS ujar Ng bersedia membantu membina semula ekonomi negara, namun kerajaan perlu memahami mesej yang dihantar kepada komuniti perniagaan adalah sama penting dengan niat. - DagangNews.com








