KUALA LUMPUR 20 Mei — Samaiden Group Berhad menerusi anak syarikat milik penuhnya, Samaiden Sdn Bhd (SSB) memperoleh kontrak bernilai RM45 juta bagi kerja-kerja di loji solar berskala besar (LSS) 9.99MWac di Kedah.
Kumpulan tersebut berkata, kontrak itu melibatkan pembangunan kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan, dan pentauliahan (EPCC) untuk kemudahan janakuasa fotovoltaik solar itu yang terletak di Padang Cina, Daerah Kulim.
Surat penganugerahan (LOA) diterima daripada PAXS Renewables Sdn Bhd meliputi skop lengkap reka bentuk, EPCC dan pengujian di bawah program LSS5 dengan projek diluluskan Suruhanjaya Tenaga pada Disember 2024.
"Penerimaan tender baharu tersebut turut mencerminkan kehadiran Samaiden yang semakin meningkat dalam segmen pembangunan solar berskala utiliti di Malaysia," kata kumpulan berkenaan dalam satu kenyataan.
Kerja-kerja tapak bermula serta-merta dari tarikh LOA ditandatangani pada 19 Mei 2025, dengan tertakluk kepada pengeluaran notis rasmi untuk diteruskan selepas semua syarat kontrak dahulu telah dipenuhi.
Projek tenaga boleh diperbaharui (RE) berkenaan kata Samaiden, dijadualkan dapat siap mencapai tarikh operasi komersial (COD) sepenuhnya menjelang 12 Julai 2027.
PAXS Renewables, yang memberi kontrak tersebut merupakan syarikat Malaysia yang terlibat dalam pemasangan sistem tenaga solar dan pengendalian kemudahan penjanaan elektrik.
Kerjasamanya dengan Samaiden mencerminkan keyakinan terhadap rekod prestasi dan keupayaan teknikal kumpulan itu yang terbukti dalam menyampaikan rumusan infrastruktur RE.
Pengarah Urusan Kumpulan Samaiden, Datuk Ir Chow Pui Hee berkata, kontrak di bawah LSS5 ini mengesahkan lagi kemampuan Samaiden sebagai rakan kongsi EPCC solar yang boleh dipercayai di Malaysia.
"Ia mengukuhkan komitmen kami menyokong agenda RE oleh kerajaan sambil membina nilai jangka panjang melalui pelaksanaan projek secara konsisten dan sumbangan hasil yang mampan," katanya. - DagangNews.com








