KUALA LUMPUR 28 Mei — Samaiden Group Berhad dijangka menerima manfaat daripada lonjakan projek kejuruteraan solar ketika Malaysia bergerak kepada campuran tenaga boleh diperbaharui (RE) sebanyak 70% menjelang 2050, kata penganalisis.
Pertumbuhan jangka panjang kumpulan tersebut diunjur masih kekal kukuh, walaupun kemungkinan terdapat gangguan pendapatan jangka pendek yang dikaitkan dengan tekanan margin dan masa pelaksanaan sesuatu projek.
Ia berdasarkan keputusan kewangan Samaiden baru-baru ini untuk tempoh sembilan bulan yang berakhir pada 31 Mac 2025 apabila merosot jauh di bawah jangkaan.
RHB Research berkata, kerugian tersebut disebabkan margin yang lebih lemah di tengah-tengah kemajuan berterusan pelbagai kontrak program tenaga hijau korporatnya (CGPP).
Kenanga Research juga menunjukkan pelaksanaan kerja yang perlahan dan margin kurang daripada jangkaan dalam CGPP, dengan keuntungan bersih teras kumpulan sebanyak RM13.1 juta hanya menyumbang 55 peratus daripada ramalan setahun penuhnya.
Di sebalik kekecewaan hasil diperoleh, firma penyelidikan kekal optimis mengenai prospek Samaiden apabila ia mula meraih pelbagai kontrak solar berskala besar (LSS).
RHB Research merujuk kumpulan itu baru-baru ini menerima kontrak kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) yang ketiga di bawah LSS5 bernilai RM100.7 juta daripada GVU Fajar Timur Sdn Bhd untuk loji janakuasa solar 27.6MWac di Kelantan.
“Selain itu, kumpulan berkenaan telah memperoleh sejumlah 67.58MWac yang bernilai RM254.3 juta dalam pelbagai kontrak EPCC di bawah LSS5,” kata firma tersebut.
TA Securities pula mengambil kira kemenangan Samaiden baru-baru ini, termasuk kerja GVU dan tender RM45 juta daripada Pax RE, menganggarkan buku tempahan dikemas kini pada RM588 juta iaitu rekod tertinggi, mewakili 2.6 kali ganda hasil kumpulan pada FY24.
Ia menyatakan prospek penambahan buku tempahan disokong oleh kapasiti 4GW agregat di bawah kitaran lelongan LSS5 dan LSS5+, yang melibatkan prospek EPCC sebanyak RM12 bilion hingga RM14 bilion.
Kenanga Research menambah bahawa Samaiden mempunyai peluang yang kuat untuk memperoleh 10 peratus, dengan anggaran RM500 juta daripada jumlah keseluruhan pekerjaan EPCC bagi sistem fotovoltaik di bawah LSS5, bernilai RM5 bilion.
Firma itu menjangkakan, "kemasukan peluang pekerjaan yang kuat" dengan tarikh akhir untuk penyiapan projek LSS5 menjelang akhir 2026, bersama kuota 500MW lagi di bawah skim pemeteran tenaga bersih.
MIDF Research pula menyatakan Samaiden adalah antara pembida yang disenarai pendek untuk membangunkan ladang solar 99.99MW di Kelantan dan ia telah menandatangani perjanjian pembelian tenaga selama 21 tahun dengan Tenaga Nasional Berhad.
"Samaiden adalah antara penerima manfaat utama prospek EPCC di bawah LSS5, dan LSS lain yang akan datang, dengan potensi pertumbuhan RE jangka panjang daripada Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara," katanya.
Walaupun TA Securities dan Kenanga Research telah mengurangkan harga sasaran (TP) masing-masing kepada RM1.38 dan RM1.43, kedua-duanya mengekalkan saranan "beli", dengan memetik asas yang kukuh dan potensi RE.
MIDF Research turut mengekalkan TP pada RM1.59 dan saranan "beli" manakala RHB Research pula menurunkan TP untuk Samaiden kepada RM1.44 tetapi ia kekal yakin.
"Kami menjangkakan lebih banyak aliran berita positif daripada kumpulan itu dalam tempoh terdekat dengan Samaiden menyasarkan sekurang-kurangnya 10 peratus bahagian kapasiti 2GW yang ada," katanya. - DagangNews.com








