KUALA LUMPUR 14 April – Ketegangan berpanjangan di Timur Tengah yang berisiko mencetuskan krisis minyak global dilihat berpotensi memberi banyak kelebihan kepada YTL Power International Berhad.
Berdasarkan kepada situasi semasa, RHB Research mengekalkan saranan 'beli' ke atas saham syarikat perkhidmatan utiliti itu, dan turut menaikkan harga sasaran (TP) kepada RM5.00 daripada RM4.50.
Peningkatan berkenaan mencerminkan potensi kenaikan sekitar 37% selain pulangan dividen kira-kira 3%, dengan menyifatkan kumpulan itu akan meraih banyak manfaat daripada kenaikan harga tenaga.
"Kami meramalkan kos gas YTL Power sudah ditetapkan, manakala harga elektrik runcit di Singapura dijangka meningkat selari dengan lonjakan harga minyak dunia," jelas RHB Research dalam notanya.
Ujarnya, setiap kenaikan AS$10 (RM39) setong harga minyak Brent dapat meningkatkan lagi margin keuntungan sebelum cukai sebanyak dua mata peratusan dan menambah 6% kepada pendapatan kumpulan.
Selain itu, syarikat dilihat berada dalam kedudukan kukuh untuk memenangi tender loji gas baharu di Singapura di bawah program NewGen 2026, yang disasarkan beroperasi antara 2029 hingga 2031.
RHB Research menganggarkan projek yang berkapasiti 2.1GW itu berpotensi menjana kadar pulangan dalaman (IRR) sekitar 11%, serta menambah sehingga 40 sen kepada TP saham YTL Power sendiri.

"Pada masa sama, kumpulan berkenaan turut berusaha mengembangkan perniagaan pusat data (DC) dengan kapasiti 300MW, dan sasaran mencapai 1.3GW menjelang 2031," jelas firma penyelidikan tersebut.
Pengurusan juga menilai kemungkinan tawaran awam permulaan (IPO) bagi perniagaan tersebut, yang dianggarkan bernilai RM28 bilion, dan berpotensi meningkatkan nilai syarikat secara keseluruhan.
Selain itu tambah RHB Research, kenaikan tarif kira-kira 3% bagi operasi utiliti air di United Kingdom turut menyokong aliran pendapatan YTL Power menerusi anak syarikatnya di negara berkenaan.
Walaupun prospek positif, ia menurunkan sedikit unjuran hasil FY26 dan FY27 antara 4% hingga 9% susulan margin yang rendah, kerugian dalam Digital Nasional Berhad (DNB) serta pelarasan tarif air.
"Antara risiko utama yang dikenal pasti boleh menjejaskan potensi kumpulan berkenaan termasuk jika berlaku masalah peningkatan kos bahan api serta isu kelewatan dalam pembangunan DC," katanya.
Secara keseluruhan, RHB Research berpandangan YTL Power berada di kedudukan strategik memanfaatkan kitaran kenaikan harga tenaga global, di samping pemangkin pertumbuhan baharu. - DagangNews.com








