KUALA LUMPUR 24 April – Sentimen positif daripada keputusan kewangan kukuh gergasi cip global Intel Corporation di Amerika Syarikat (AS), turut memberi kesan kepada saham sektor teknologi tempatan.
Menurut penganalisis, situasi berkenaan turut dipengaruhi gelombang baharu permintaan kecerdasan buatan (AI) yang semakin meresap ke seluruh industri, sehingga menjadi pemacu utama lonjakan.
Keadaan itu terbukti apabila dagangan saham-saham sektor teknologi melonjak ketara hari ini dengan Indeks Teknologi Bursa Malaysia meningkat 3%, dipacu kaunter semikonduktor dan peralatan teknologi.
Antara yang mencuri tumpuan pelabur ialah ViTrox Corporation Berhad yang melonjak kira-kira 10%, manakala Malaysian Pacific Industries Berhad meningkat sebanyak 5% ke paras tertinggi 10 bulan.
Trident Analytics berkata, minat pelabur kembali memuncak apabila pemain semikonduktor mula merasai limpahan permintaan berkaitan AI selepas tempoh penyusutan kitaran industri sebelum ini.
“Pelaburan berbilion dolar AS dalam AI sejak dua tahun lalu kini mula mengalir kepada pemain tempatan, sekali gus menyokong pertumbuhan baharu sektor ini,” kata firma penyelidikan tersebut.

Menurutnya, permintaan struktur yang dipacu kepada produk berasaskan teknologi AI dilihat terus meningkatkan keperluan cip, bukan sahaja bagi pusat data (DC), malahan aplikasi pengguna harian.
Sementara itu, Rakuten Trade berpandangan kitaran semasa industri semikonduktor dijangka berdaya tahan berbanding sebelum ini, memandangkan penggunaan AI semakin meluas merentas pelbagai sektor.
Tambah firma berkenaan, keadaan positif itu sekali gus menjadikan permintaan terhadap saham teknologi sebagai kurang terdedah kepada pengaruh kejatuhan mendadak seperti kitaran terdahulu.
“Ini baru permulaan kepada kitaran kenaikan, dan kami menjangkakan syarikat teknologi Malaysia akan mencatat prestasi pendapatan yang lebih kukuh menjelang tempoh separuh kedua 2026,” ujarnya.
Secara keseluruhan, kedua-dua firma penyelidikan itu melihat sektor teknologi tempatan mula berada di landasan pemulihan yang amat kukuh, dengan pemacu utama datang daripada permintaan AI global.
Situasi kali ini turut disokong oleh faktor peningkatan keterlihatan tempahan selepas mereka perlu mengharungi tempoh kelembapan yang tidak menentu di pasaran sebelum ini. - DagangNews.com








