KUALA LUMPUR 9 Jun — Saham-saham yang didagangkan dalam senarai Indeks Komposit Kuala Lumpur (KLCI) dijangka berpotensi mencatatkan peningkatan selepas merekodkan situasi hambar sepanjang tempoh suku pertama 2025, menurut Maybank Investment Bank (Maybank IB).
Firma penyelidikan tersebut berkata, tempoh tiga bulan berkenaan memang secara umumnya agak lemah terutama kepada sektor perbankan yang menyaksikan sebahagian besar mengalami kerugian berbanding kelazimannya mampu memiliki prestasi baik pada suku-suku sebelumnya.
Ia berkata, situasi itu menyebabkan sektor tersebut serta minyak dan gas (O&G) diturunkan tarafnya kepada 'neutral' untuk unjuran selepas 1QFY25 manakala hasil KLCI diunjur menjadi sederhana kepada 2.5 peratus dan 7.7 peratus masing-masing pada tahun kewangan 2025 dan 2026.
"Kami namun menjangkakan berlaku sedikit pemulihan dalam tempoh separuh kedua 2025 dengan percaya prospek KLCI masih memiliki peningkatan walaupun telah menurunkan sasaran mata indeks kepada 1,660 berbanding 1,700 sebelum itu," kata Maybank IB dalam nota kajiannya.
Firma berkenaan memberikan contoh Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang dijangka antara saham dengan potensi positif peningkatan utama kepada KLCI sehingga ia sendiri turut bertindak menukarkan saranan ke atas dagangan kumpulan tersebut daripada 'pegang' kepada 'beli'.
Selain itu, firma berkenaan masih lagi kekal berpandangan positif pada sektor yang dipacu domestik seperti pengguna, amanah pelaburan hartanah (REIT), tenaga boleh diperbaharui dan penjagaan kesihatan dengan diunjurkan mampu merekodkan pemulihan dalam tempoh 2HFY25.
Secara keseluruhan tambah Maybank IB, berikutan prestasi yang lebih lemah pada 1QFY25, kira-kira 28 peratus daripada kesemua 101 syarikat yang di bawah liputan firma itu memberikan keputusan di bawah jangkaan berbanding 15 peratus di atas dan 55 peratus pula sebaris.
"Tiada sektor yang jelas menunjukkan prestasi lebih baik pada suku itu dengan sebahagian besar bank-bank berada di bawah jangkaan; manakala walaupun lebih separuh daripada sektor yang diliputi adalah sebaris, selebihnya bercampur-campur serta cenderung kepada negatif," katanya.
Sebanyak 33 syarikat di bawah liputan firma penyelidikan itu bagi suku berakhir Februari atau Mac 2025 menyaksikan perubahan pendapatan, yang condong kepada penurunan taraf dengan perladangan adalah sektor bermodal besar direkodkan telah mengalami penyusutan hasil.
Maybank IB berkata, ia disebabkan faktor levi eksport lebih tinggi dan operasi hiliran adalah lemah, di samping sektor O&G yang melaporkan aktiviti lemah, dengan pendapatan juga merosot kerana aliran kerja perlahan berikutan perbelanjaan modal rendah oleh Petronas.
Kebanyakan peningkatan pendapatan masih terhad kepada sektor pengguna dan REIT manakala selepas 1QFY25, ia menurunkan taraf sektor perbankan dan O&G kepada 'neutral' daripada 'positif' susulan pada prospek suku-suku akan datang yang diunjur lebih lemah.
"Sektor utiliti walaupun masih 'neutral', kelihatan lebih menarik pada sudut yang bertahan berbanding pertumbuhan serta kami kekal 'positif' pada sektor utama didorong domestik tetapi 'negatif' untuk sektor petrokimia dan sarung tangan," kata firma penyelidikan itu.
Bagaimanapun, Maybank IB mengulangi jangkaan berlaku pemulihan dalam sektor hartanah, REIT, tenaga boleh diperbaharui dan penjagaan kesihatan pada tempoh enam bulan terakhir 2025 meskipun sasaran mata KLCI tahun ini dikurangkan kepada 1,660 daripada 1,700.
Firma tersebut menjangkakan pasaran masih lagi tidak menentu di tengah-tengah ketidaktentuan isu tarif Amerika Syarikat walaupun menganggap kemungkinan boleh berlaku penurunan tarif selanjutnya dan hasil yang menggalakkan daripada rundingan delegasi Malaysia. - DagangNews.com








