KUALA LUMPUR 28 April – PGF Capital Bhd mencatat penurunan harga saham selepas melaporkan keputusan kewangan yang lebih rendah daripada jangkaan penganalisis bagi tahun kewangan berakhir 28 Februari 2026.
Keuntungan bersih syarikat bagi tempoh tersebut didapati 12 peratus lebih rendah berbanding jangkaan pasaran, mencerminkan tekanan kos yang semakin meningkat dalam operasi kumpulan.
Menurut Maybank Investment Bank (Maybank IB), antara faktor utama yang menjejaskan prestasi kewangan ialah kenaikan kos bil utiliti yang merangkumi kira-kira 30 peratus daripada kos pengeluaran syarikat.
“Selain itu, kenaikan kos pembungkusan serta pengangkutan laut turut memberi kesan kepada margin keuntungan syarikat. Peningkatan kos ini berpunca daripada ketidaktentuan geopolitik global yang mengganggu rantaian bekalan.
“Walaupun berdepan tekanan kos, permintaan terhadap produk gentian kaca penebat dijangka kekal kukuh, disokong oleh peraturan pembinaan yang lebih ketat di Australia dan New Zealand,” kata firma tersebut dalam nota kajiannya.
Pada masa sama, penekanan global terhadap kecekapan tenaga turut menyokong permintaan jangka panjang terhadap bahan penebat tersebut.
Dalam pada itu, TA Securities berkata kesan kenaikan kos pembungkusan akibat konflik di Timur Tengah dijangka memberi impak kecil terhadap keuntungan, iaitu kurang daripada lima peratus.
Firma itu berkata kesan penurunan keuntungan boleh dikurangkan melalui pengukuhan mata wang dolar Australia yang kini lebih tinggi berbanding ringgit yang dilihat mampu menyerap sebahagian tekanan kos yang ditanggung syarikat.
Harga saham PGF Capital susut empat sen atau kira-kira dua peratus kepada RM1.66, dengan nilai pasaran sekitar RM322 juta pada pagi 28 April 2026.
Saham tersebut turut mencatat penurunan hampir lapan peratus sejak bermulanya konflik geopolitik di Timur Tengah pada akhir Februari.
Bagaimanapun, ketiga-tiga firma penyelidikan yang membuat liputan terhadap PGF Capital masih mengekalkan saranan “Beli” dengan purata harga sasaran sekitar RM2.83, menunjukkan potensi kenaikan dalam tempoh 12 bulan akan datang. - DagangNews.com








