Saham PETRONAS Chemicals susut lebih 15% akibat kejatuhan harga minyak global, jualan singkat digantung | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Saham PETRONAS Chemicals susut lebih 15% akibat kejatuhan harga minyak global, jualan singkat digantung

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 8 April — Saham PETRONAS Chemicals Group Berhad (PCG) merosot mendadak pada dagangan pagi dengan jualan singkat intrahari (IDSS) digantung, susulan kejatuhan harga minyak mentah.


Kaunter itu dibuka pada paras terendah tiga minggu iaitu RM4.90, susut 98 sen atau 16.7%, sebelum mengurangkan kerugiannya kepada RM5.67 setakat 9.51 pagi, dengan 16.23 juta sahamnya diniagakan.


Bursa Malaysia dalam kenyataan berkata, IDSS kaunter itu digantung bagi baki hari dagangan selepas harga sahamnya jatuh lebih 15% daripada harga rujukan, dan hanya disambung semula pada 8.30 pagi esok.


Tekanan jualan ke atas PCG berlaku seiring dengan kejatuhan harga minyak mentah global apabila pasaran tempatan bertindak balas segera terhadap perkembangan geopolitik terkini di rantau Timur Tengah.

 

 

 

 

 

 


Harga minyak penanda aras dunia turun di bawah paras AS$100 (RM398) setong selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan persetujuan gencatan senjata selama tempoh dua minggu.


Langkah itu namun tertakluk kepada pembukaan semula Selat Hormuz, dengan setakat ini minyak mentah WTI susut 14.68% kepada AS$96.37 (RM384), manakala Brent turun 12.96% kepada AS$95.11 (RM379).


Sebelum ini, PCG merupakan antara penerima manfaat utama lonjakan harga minyak global berikutan konflik AS-Iran, dengan harga sahamnya hampir naik sebanyak dua kali ganda dalam masa kurang sebulan.


Malah penganalisis menilai prospek syarikat tersebut turut disokong jangkaan harga urea yang lebih tinggi akibat ketegangan di Timur Tengah, seperti pernah dilaporkan oleh firma penyelidikan MBSB Research.

 

 

 

 

 


Bagaimanapun, situasi penyusutan harga minyak dunia secara mendadak hari ini mencetuskan aktiviti pengambilan untung dalam kalangan pelabur tempatan, terutama kepada saham berkaitan petroleum.


Tindakan IDSS berkenaan turut memberi tekanan tinggi kepada saham-saham yang berkaitan dengan sektor tenaga dan petrokimia termasuk PCG sendiri dalam dagangan semasa. - DagangNews.com