KUALA LUMPUR 17 Dis - Saham Pekat Group Bhd dilihat berada pada kedudukan teknikal yang positif apabila menghampiri potensi penembusan corak bull-flag di atas garis aliran menaik jangka panjang purata bergerak 200 hari (MA200), disokong oleh asas fundamental yang kukuh serta keterlihatan pendapatan berbilang tahun, menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB).
Firma penyelidikan itu berkata, dari sudut teknikal, pegangan berterusan di atas MA20 pada paras RM1.54 dijangka mengukuhkan momentum menaik saham tersebut.
"Sasaran rintangan terdekat dikenal pasti pada RM1.60, diikuti RM1.65 dan RM1.71, manakala paras sokongan berada pada RM1.51, RM1.45 dan RM1.41. Paras henti rugi disyorkan pada RM1.45 bagi mengehadkan risiko penurunan," kata firma itu dalam nota penyelidikan hari ini.
Corak bull flag merujuk kepada formasi carta kesinambungan menaik dalam analisis teknikal, yang menunjukkan kenaikan harga yang mendadak (dikenali sebagai “tiang”) diikuti oleh fasa penyatuan singkat yang condong ke bawah (dikenali sebagai “bendera”) sebelum harga menembusi ke atas dan meneruskan aliran menaik.
Ia menandakan satu situasi sementara di mana pembeli berkumpul semula, dan disahkan oleh penembusan melepasi garis arah aliran atas bendera, selalunya disertai dengan peningkatan volum, yang menunjukkan minat belian baharu serta potensi pergerakan harga yang lebih tinggi.
HLIB seterusnya berkata, dari segi penilaian, Pekat dilihat relatif rendah nilai berbanding rakan lain dengan nisbah P/E hadapan FY26 sebanyak 18.6 kali, iaitu diskaun kira-kira 19% berbanding purata sektor pada 23 kali, sekali gus menjadikan saham ini menarik dari perspektif risiko-ganjaran.
Prospek pendapatan Pekat disokong oleh buku pesanan kukuh bernilai RM785 juta merangkumi segmen tenaga solar dan kejuruteraan tenaga elektrik (ELP), yang memberikan keterlihatan pendapatan sehingga FY2026 dan FY2027.
HLIB menjangkakan pengembangan margin apabila perniagaan EPE Switchgear terus meningkat skala, selain volum projek solar dan ELP yang lebih tinggi memacu leverage operasi.
"Dalam jangka terdekat, prestasi hasil dijangka dipacu oleh pelaksanaan projek EPCC yang lebih rancak menerusi LSS6, pelaksanaan Solar ATAP bermula 1 Januari 2026, serta projek tenaga luar grid di Sabah dan Sarawak di bawah Belanjawan 2026.
"Selain itu, faktor struktur turut menyokong prospek jangka panjang Pekat, termasuk kewajipan pemasangan sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS) bagi projek solar komersial dan industri berskala besar, penurunan kos bateri global serta insentif Elaun Cukai Pelaburan Hijau.
"Faktor-faktor ini meningkatkan daya ekonomi penyelesaian solar bersama BESS, di samping membuka peluang strategik kepada Pekat untuk meneroka pemasangan bateri tempatan," kata firma itu lagi.
Penyambungan semula projek solar atas bumbung kediaman bermula suku pertama 2026, yang dijangka menawarkan margin kasar sekitar 30%, turut dilihat sebagai pemangkin tambahan kepada pertumbuhan pendapatan kumpulan. - DagangNews.com








