Saham Manforce catat 37.5 sen, susut 1.3% pada permulaan dagangan di Pasaran ACE | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Saham Manforce catat 37.5 sen, susut 1.3% pada permulaan dagangan di Pasaran ACE

Ahli-ahli Lembaga Pengarah Manforce semasa pelancaran saham di Pasaran ACE, Bursa Malaysia pada 6 Meil 2026.
Oleh Muhammad Iman

KUALA LUMPUR 6 Mei - Saham syarikat perkhidmatan pengurusan tenaga kerja, Manforce Group Bhd, dibuka lebih rendah daripada harga tawaran awam permulaan (IPO) pada hari pertama penyenaraiannya di Pasaran ACE, hari ini.

 

Saham Manforce didagangkan pada 37.5 sen, susut 0.5 sen atau 1.3% sebaik sahaja dagangan dibuka.

 

Manforce, yang sebelum ini tersenarai di Pasaran LEAP, merupakan penyedia perkhidmatan pengurusan tenaga kerja yang memberi tumpuan kepada pengambilan dan pengurusan pekerja asing, selain perkhidmatan pembersihan projek.

 

Ditawarkan pada harga 38 sen sesaham, IPO tersebut melibatkan terbitan awam sebanyak 79.996 juta saham baharu serta tawaran untuk jualan sebanyak 19.999 juta saham sedia ada. Langkah itu dijangka meraih RM30.4 juta kepada kumpulan, manakala tawaran untuk jualan akan menjana RM7.6 juta kepada Pengarah Urusan, Datuk Wong Boon Ming.

 

Daripada hasil kutipan itu, sebanyak RM14.74 juta diperuntukkan bagi pengembangan operasi perniagaan termasuk meningkatkan kuota pengambilan pekerja, manakala selebihnya akan digunakan untuk naik taraf sistem IT dan operasi, modal kerja serta perbelanjaan penyenaraian.

 

Selepas penyenaraian, Manforce dijangka mencatat permodalan pasaran sekitar RM152 juta.

 

Pada harga IPO, saham tersebut dinilai sekitar 15 hingga 16 kali pendapatan bagi tempoh 12 bulan terkini, menurut laporan terdahulu.

 

TA Securities dalam nota penyelidikannya baru-baru ini menyatakan harga IPO berkenaan tidak menawarkan potensi kenaikan pada hari penyenaraian, selain mengunjurkan pendapatan kumpulan boleh merosot 4% tahun ini sebelum pulih semula pada 2027, susulan pertumbuhan lebih perlahan berikutan pembekuan kemasukan pekerja asing baharu oleh kerajaan sejak Mei 2024.

 

M&A Securities merupakan penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan bagi IPO tersebut, manakala Eco Asia Capital Advisory Sdn Bhd sebagai penasihat kewangan. - DagangNews.com