Saham KPJ Healthcare cecah paras tertinggi sejak 1994, penganalisis yakin pelan strategik pacu pertumbuhan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Saham KPJ Healthcare cecah paras tertinggi sejak 1994, penganalisis yakin pelan strategik pacu pertumbuhan

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 3 Mac – Saham KPJ Healthcare Berhad melonjak ke paras tertinggi pada tengah hari 3 Mac 2026 sejak penyenaraian 1994, susulan prestasi kewangan 4Q berakhir 31 Disember 2025.


Kaunter tersebut dibuka pada RM3.03 sebelum meningkat ke paras tertinggi harian RM3.21 dan didagangkan sekitar RM3.18 sebelum rehat tengah hari, dengan 7.83 juta saham bertukar tangan.


Pada harga tersebut, permodalan pasaran kumpulan penjagaan kesihatan itu mencecah RM14.4 bilion.
Bagi 4QFY25, keuntungan bersihnya naik 10.27% kepada RM132.9 juta berbanding tempoh sama FY24.


Sementara itu pendapatan KPJ mencatatkan peningkatan kira-kira 10.25% kepada sebanyak RM1.15 bilion iaitu rekod hasil suku tahunan paling tinggi dalam sejarah kumpulan berkenaan sendiri.


Sehubungan itu, kumpulan tersebut pada 26 Februari 2026 turut mengisytiharkan dividen satu peringkat sebanyak 1.35 sen sesaham, iaitu turut meningkat daripada hanya 1.05 sen sebelum ini.


CIMB Securities dalam nota analisisnya berkata, pelan strategik 2026-2030 yang diumumkan pihak pengurusan kumpulan itu memberi gambaran jelas hala tuju pertumbuhan dalam jangka sederhana.


"Pelan itu berteraskan pendigitalan, pembangunan rangkaian penjagaan kesihatan, peningkatan hasil pesakit serta perluasan kapasiti terus secara lapangan," kata firma penyelidikan berkenaan.


KPJ mengendalikan 3,934 katil setakat akhir 2025 dan merancang menambah 2,200 katil serta merekrut lebih 500 perunding perubatan bagi menyokong pertumbuhan permintaan perkhidmatan kesihatan.


Firma itu melihat inisiatif selama lima tahun berkenaan mampu memperkukuh trajektori pertumbuhan hasil dalam tempoh tiga tahun akan datang, disokong kadar penghunian hospital yang amat mampan.


Sementara itu, RHB Research menaikkan harga sasaran (TP) sahamnya kepada RM3.37, mencerminkan potensi kenaikan sekitar 15% daripada paras semasa serta anggaran hasil dividen sekitar 2%.


"Pelan KPJ ini menandakan peralihan struktur ke arah model sistem kesihatan akademik bersepadu, dan mengukuh kedudukan jangka panjang dalam industri penjagaan kesihatan sektor swasta," katanya.


Perbelanjaan modal bagi tempoh 2026 hingga 2030 dianggarkan antara RM4 bilion hingga RM5 bilion, dengan peluasan dilaksanakan secara berfasa dan tertumpu kepada hospital berpenghunian tinggi.


RHB Research menambah, walaupun menjangkakan peningkatan pengambilan hutang, namun ia berpandangan paras penggearan bersih adalah kekal terkawal dan masih dalam had perjanjian pembiayaan.


Daripada 17 firma penyelidikan yang membuat liputan ke atas saham KPJ, 11 daripadanya menyarankan ‘beli’ manakala enam mengekalkan ‘pegang’, dengan purata TP selama 12 bulan sekitar RM3.16.


Bagaimanapun, saham KPJ kini diniagakan pada nisbah harga kepada pendapatan (PE) 37.7 kali, yang dilihat lebih tinggi berbanding kebanyakan rakan setara industri. - DagangNews.com