KUALA LUMPUR 21 Mei - EI Power Berhad memulakan dagangan sulung di Pasaran ACE Bursa Malaysia dengan sahamnya naik 27.1%, mencerminkan keyakinan kukuh pelabur terhadap prospek syarikat itu.
Saham kumpulan tersebut dibuka pada harga 61 sen sesaham berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 48 sen, dengan volum dagangan pembukaan mencecah kira-kira 32.5 juta saham.
Prestasi positif berkenaan didorong IPO syarikat kejuruteraan tenaga itu terlebih langgan sebanyak 30.8 kali, sekali gus menandakan minat pelabur yang tinggi terhadap pertumbuhan jangka panjang.
Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Eksekutif EI Power, Albert Chang Wan Siong berkata, penyenaraian itu menjadi pencapaian penting buat kumpulan tersebut dalam memperkukuh kedudukan.
"Dana sebanyak RM62.2 juta yang diperoleh menerusi IPO itu akan digunakan bagi mempercepatkan fasa pertumbuhan seterusnya termasuk meningkatkan kapasiti operasi kami," kata beliau dalam kenyataan.
Di samping itu ujarnya, kumpulan tersebut berhasrat untuk memperluaskan penawaran perkhidmatan serta mengembangkan kehadiran syarikat di peringkat tempatan dan serantau termasuk Thailand.
Pelaburan ini tambah beliau, mengukuhkan keupayaan pelaksanaan untuk menyokong projek yang lebih besar dan kompleks, serta meletakkan EI Power pada kedudukan lebih kukuh untuk pertumbuhan mampan.
Daripada jumlah hasil IPO itu, sebanyak RM18.3 juta diperuntukkan bagi pemerolehan dan pembangunan ibu pejabat serta gudang baharu, manakala RM10 juta digunakan sebagai perbelanjaan modal (capex).
Selain itu jelas beliau, RM1.4 juta lagi untuk membuka pejabat di Thailand dan RM2.3 juta bagi penubuhan cawangan serta gudang di Johor, sementara RM24.9 juta akan digunakan sebagai modal kerja.
Albert berkata, prospek syarikat kekal positif disokong peningkatan pelaburan dalam infrastruktur kritikal seperti pusat data, selain buku tempahan belum dibilkan bernilai RM99.9 juta setakat 24 Mac 2026.
M&A Securities bertindak sebagai penasihat, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan bagi pelaksanaan IPO EI Power. - DagangNews.com








