KUALA LUMPUR 6 April - Kenanga Research memulakan liputan ke atas Cheeding Holdings Bhd dengan penarafan ‘Outperform’ dan harga sasaran RM0.79, disokong kekuatan teknikal dalam segmen transmisi voltan tinggi serta margin keuntungan yang kukuh.
Firma penyelidikan itu berkata, penilaian itu dibuat berdasarkan gandaan harga kepada pendapatan (P/E) 15 kali ke atas unjuran pendapatan sesaham (EPS) tahun kewangan 2027 sebanyak 5.3 sen.
"Gandaan tersebut sedikit lebih tinggi berbanding purata hadapan sektor kontraktor elektrik sekitar 13 kali, namun dilihat wajar mengambil kira kelebihan daya saing kumpulan," kata firma itu dalam nota kajian hari ini.
Menurut Kenanga, antara faktor utama menjadikan saham ini menarik termasuk keupayaan pelesenan dalam transmisi 500kV, iaitu kelas voltan tertinggi yang menjadi komponen penting bagi penaiktarafan rangkaian tenaga masa depan serta pembangunan koridor Grid Kuasa ASEAN.
Selain itu, katanya, Cheeding turut memiliki keupayaan bersepadu merangkumi keseluruhan rantaian nilai elektrik seperti transmisi talian atas, utiliti bawah tanah dan pencawang, sekali gus membolehkannya bertindak sebagai penyedia kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) sehenti.
Syarikat itu juga mempunyai rekod prestasi kukuh dengan lebih 20 projek infrastruktur nasional yang berjaya disiapkan di seluruh Semenanjung Malaysia.
Dari segi kecekapan operasi, Cheeding mencatat margin bersih teras melebihi 20%, jauh mengatasi purata industri, didorong tumpuan kepada projek transmisi talian atas berkeuntungan tinggi serta model perniagaan berasaskan aset ringan.
Kumpulan itu turut diberikan penarafan ESG tiga bintang.
Menurut Kenanga, prestasi kewangan Cheeding dijangka terus berkembang kukuh disokong buku tempahan mantap, projek transmisi bernilai tinggi serta pengembangan kapasiti operasi selepas penyenaraian awam permulaan (IPO).
Dari segi prestasi kewangan, syarikat itu merekodkan peningkatan ketara dalam keuntungan bersih teras daripada RM8 juta pada FY23 kepada RM27 juta pada FY25, mewakili kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) dua tahun sebanyak 79%.
Pertumbuhan tersebut didorong oleh perolehan kontrak konsisten daripada Tenaga Nasional Bhd (TNB) serta campuran hasil yang lebih tertumpu kepada projek transmisi ber-margin tinggi di bawah RP3.
Pada FY25, Cheeding mengekalkan margin bersih teras melebihi 20%, disokong oleh kekuatan pelesenan transmisi 500kV, pengurusan kos berdisiplin serta hubungan kukuh dengan pembekal.
Margin turut diperkukuh oleh kebergantungan lebih rendah terhadap subkontraktor dan campuran projek yang lebih menguntungkan, khususnya daripada projek Green Lane Pathway dan kerja-kerja 275kV.
Bagi prospek kewangan, keuntungan teras Cheeding diunjurkan berkembang masing-masing sebanyak 31% dan 22% tahun ke tahun kepada RM34 juta pada FY26F dan RM42 juta pada FY27F.
Prestasi ini dijangka dipacu oleh kemajuan pengebilan daripada buku tempahan tertunggak berjumlah RM184 juta, selain andaian pengisian kontrak baharu tahunan antara RM191 juta hingga RM292 juta selari dengan peningkatan skala penganugerahan di bawah RP4.
Segmen kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) bagi talian penghantaran atas dijangka kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan, dengan pengiktirafan hasil lazimnya tertumpu pada dua tahun pertama dalam kitaran kontrak tiga tahun.
Dalam masa sama, segmen EPCC utiliti bawah tanah dilihat muncul sebagai pemacu pertumbuhan kedua, disokong oleh pengembangan keupayaan dalaman serta peningkatan permintaan daripada pembangunan pusat data di Cyberjaya dan Sedenak.
Secara keseluruhan, Cheeding dijangka terus mengukuhkan asas pendapatannya melalui kepelbagaian projek serta peningkatan keupayaan pelaksanaan susulan pengukuhan kunci kira-kira selepas IPO.
Dari sudut pulangan kepada pemegang saham, syarikat telah menetapkan dasar dividen formal untuk mengagihkan sekurang-kurangnya 25% daripada keuntungan selepas cukai (PAT) disatukan.
Walaupun tiada rekod pembayaran dividen sebelum IPO, kadar agihan dijangka dikekalkan pada paras tersebut, disokong oleh asas pendapatan yang kukuh, kedudukan tunai bersih serta penjanaan aliran tunai operasi yang sihat - DagangNews.com








