KUALA LUMPUR 19 Nov – Saham Aquawalk Group Bhd dibuka pada 30 sen dalam penampilan sulungnya di Pasaran ACE Bursa Malaysia hari ini, satu sen di bawah harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 31 sen, dengan 26.49 juta saham didagangkan.
Bahagian awam bagi IPO itu terlebih langgan sebanyak 6.22 kali, dengan permohonan Bumiputera melebihi peruntukan sebanyak 5.68 kali manakala bahagian bukan Bumiputera terlebih langgan sebanyak 6.77 kali.
Pengerusi Eksekutif Kumpulan, Datuk Simon Foong berkata, ketika ini, Aquawalk tidak mempunyai syarikat tersenarai setara di Bursa Malaysia, yang mungkin mempengaruhi persepsi awal pasaran.
“Kami berharap, dengan berlalunya masa, pasaran akan menyedari penilaian yang sewajarnya untuk kami,” katanya pada sidang media selepas penyenaraian.
Namun, beliau berkata, penyenaraian itu membolehkan Aquawalk mempercepatkan rancangan pengembangan dan meneroka peluang masa depan dengan lebih agresif.
Sebagai sebahagian daripada rancangan pengembangan, kumpulan itu bercadang membangunkan sebuah oseanarium baharu di Kota Kinabalu, Sabah dan sebuah akuarium di Surabaya, Indonesia, selain menambah baik Aquaria KLCC dengan tangka pameran penguin baharu yang dijangka siap pada pertengahan 2026.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Daryl Foong berkata, kumpulan itu terus mencatatkan gabungan pengunjung tempatan dan antarabangsa yang kukuh di rangkaian akuariumnya.
“Berdasarkan rekod, pengunjung antarabangsa di Phuket adalah antara 50 peratus dan kadangkala meningkat kepada 60 hingga 65 peratus pada musim kemuncak pelancongan.
“Aquaria KLCC juga kekal berada pada trajektori positif, disokong oleh insentif dan usaha promosi pelancongan kerajaan,” katanya.
Ketika ditanya mengenai kemungkinan kenaikan harga tiket, beliau berkata sebarang pelarasan hanya akan dipertimbangkan selepas siapnya tangki tanda aras baharu di Aquaria KLCC, yang akan memberikan asas jelas untuk semakan harga.
“Apabila menilai harga tiket, kami membandingkan diri dengan pasaran antarabangsa dan fasiliti setara seperti Singapore Oceanarium, Hong Kong Ocean Park dan lain-lain. Fokus kami adalah untuk memastikan nilai terbaik, sama ada dari segi kandungan pendidikan, program pengayaan atau pengalaman pengunjung secara keseluruhan,” katanya.
Daryl berkata, hasil daripada IPO akan disalurkan kepada beberapa projek utama, termasuk pembinaan tangki penguin di Aquaria KLCC, kerja-kerja pengubahsuaian dan naiktaraf di Phuket dan Kuala Lumpur, serta pembangunan tarikan baharu di Surabaya dan Sabah.
Tangki penguin itu dijangka siap pada separuh kedua 2026, manakala akuarium di Surabaya dan Kota Kinabalu disasarkan untuk siap masing-masing pada 2027 dan 2028. - BERNAMA








