KUALA LUMPUR 15 April – Saham 5E Resources Holdings Berhad mencatat permulaan positif di Pasaran ACE Bursa Malaysia apabila berjaya melonjak hampir 10% pada hari pertama dagangan hari ini.
Perkembangan baik tersebut mencerminkan minat pelabur terhadap syarikat pengurusan sisa terjadual, produk kitar semula dan perdagangan kimia yang berpangkalan di Pasir Gudang, Johor itu.
Saham syarikat patuh Syariah berkenaan didagangkan pada harga 28.5 sen ketika pembukaan sesi pagi, berbanding tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 26 sen sesaham yang dibuka pada 30 Mac 2026.
Dalam beberapa minit awal urus niaga, kaunter tersebut sudah mencecah paras tertinggi 30 sen sebelum didagangkan semula pada 28.5 sen, dengan kira-kira 93 juta saham bertukar tangan.
Pada harga berkenaan, nilai permodalan pasaran ke atas 5E Resources dianggarkan sudah mencecah sekitar RM439 juta, sekali gus berjaya mengatasi sasaran modal yang ditetapkan sebelum itu.
Penyenaraian tersebut menyaksikan kumpulan itu berjaya mengumpul dana sebanyak RM119 juta daripada IPO, yang dijangka menyokong pelan pengembangan perniagaan dalam sektor pengurusan sisa.
Prestasi awal ini mencerminkan sentimen pasaran yang positif terhadap prospek syarikat, khususnya dalam industri pengurusan sisa yang mendapat perhatian sejajar keperluan kelestarian alam sekitar.
5E Resources menyediakan pelbagai perkhidmatan pengurusan sisa terjadual secara menyeluruh yang termasuk ujian, pengumpulan, pemulihan dan kitar semula, khususnya di selatan Semenanjung.
Syarikat berkenaan kini memiliki lesen untuk 34 daripada 77 kategori sisa terjadual di Malaysia, dengan kapasiti pemprosesan tahunan melebihi 280,000 tan, dan merancang memperluaskan lesen.
Ia berhasrat menambah kepada 44 kategori serta memperkenalkan teknologi pemulihan dan kitar semula baharu, termasuk bahan api pepejal dan pemulihan bateri kenderaan elektrik terpakai. - DagangNews.com








