SEPANG 11 Mac - Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) mengesahkan yang Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gocken di Istanbul, Türkiye terjejas akibat konflik di Asia Barat sejak 28 Februari 2026.
Menurut Pengarah Urusannya, Datuk Mohd Izani Ghani, situasi itu berikutan penutupan ruang udara di beberapa negara di rantau berkenaan meskipun laluan penerbangan Türkiye masih dibuka seperti biasa.
Tambah beliau, antara paling teruk terjejas ialah penerbangan dari dan ke pelbagai destinasi di Iraq serta Syria yang turut ditawarkan oleh anak syarikat tambang rendah Turkish Airlines sendiri, AJet.
"Saya difahamkan ramai penumpang terkandas di terminal kerana semua penerbangan ke ibu kota Iraq, Baghdad dan ibu negara Syria, Damsyik terpaksa dibatalkan," jelas beliau kepada DagangNews.Com.
Terdahulu, Mohd Izani menghadiri Majlis Berbuka Puasa 2026 anjuran MAHB di Hotel Sama Sama Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di sini dengan turut meraikan hampir 100 pengamal media tempatan.
Mengulas lanjut, Sabiha Gocken dengan kod SAW ditetapkan Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) amat popular dalam kalangan rakyat dua negara itu untuk berulang alik atas pelbagai sebab.

Ia juga menghubungkan beberapa destinasi terkenal seperti Erbil, Sulaymaniyah dan Basra di Iraq, serta Aleppo di Syria yang melibatkan Turkish Airlines, Pegasus Airlines, Sun Express dan Iraqi Airways.
"Kami memberi jaminan sentiasa memantau rapi setiap perkembangan penutupan laluan udara di Asia Barat dan bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa penerbangan awam di negara itu," jelas Mohd Izani.
Perkara ini turut dilaporkan agensi berita rasmi Türkiye, Anadolu yang memetik kenyataan Menteri Pengangkutan dan Infrastrukturnya, Abdulkadir Uraloglu dengan memberi alasan langkah keselamatan.
Situasi kali ini katanya, dibimbangi mungkin mengulangi keadaan pada 2020 apabila berlaku wabak Covid-19 dengan bilangan penumpang di Sabiha Gocken merudum teruk 52% kepada 16.9 juta orang.
MAHB tambah Mohd Izani, namun optimis lapangan terbang itu dapat beroperasi penuh selepas konflik berakhir kerana tahun lalu ia berjaya mengendalikan jumlah penumpang tertinggi mencecah 48.4 juta.
"Bagaimanapun kami belum dapat memberikan statistik terkini mengenai berapakah penumpang terkandas di terminal berkenaan serta angka penerbangan yang dibatalkan ekoran isu sekatan udara," ujarnya.

Menyentuh mengenai program naik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) di Kota Bharu, Kelantan dengan kos RM440 juta, beliau berkata, terminal itu akan dirasmikan pertengahan April 2026.
Jelas Mohd Izani, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan berbuat demikian ketika berkunjung bersempena majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Madani peringkat negeri tersebut.
LTSIP dengan keluasan 36,000 meter persegi selepas pengubahsuaian itu tambahnya, mampu menampung dengan selesa hingga empat juta penumpang setahun berbanding hanya kira-kira 1.5 juta sebelum ini.
"Kami berharap ia dapat dinaik taraf kepada antarabangsa selaras keputusan Kabinet pada 2024 dengan landasannya turut dipanjangkan kepada 2,800 meter bagi kegunaan pesawat bersaiz besar," katanya.
Ketika ini ujar Mohd Izani, LTSIP sudah ada penerbangan ke Singapura menerusi syarikat tambang rendah Singapore Airlines, Scoot, dan MAHB turut merancang destinasi lain seperti Bangkok, Thailand.
Beliau tidak menolak kemungkinan beberapa destinasi serantau termasuk Jakarta, Indonesia, selain penerbangan terus ke Jeddah, Arab Saudi bagi memenuhi permintaan jemaah umrah negeri berkenaan.

Antara keunikan LTSIP jelasnya, ialah kubah di terminal perlepasan dan direka bentuk pakar khas dari Uzbekistan bagi menggambarkan imej syiar Islam yang menjadi identiti negeri Pantai Timur tersebut.
Sementara itu, ditanya projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, beliau yakin ia dapat disiapkan serentak dengan pembangunan sistem transit aliran ringan (LRT) Laluan Mutiara.
"Berdasarkan jadual kerja yang sudah bermula sejak 2024, MAHB menetapkan sasaran siap pada 2028 dengan kapasiti penumpang naik daripada 6.5 juta setahun kepada 12 juta setahun," kata Mohd Izani.
Projek yang memakan kos RM1.5 bilion itu akan menyaksikan terminal diperbesarkan hampir dua kali ganda dengan landasan dan stesen LRT turut dibina secara bersepadu dalam kawasan itu. - DagangNews.com








